Q&A : Zakat wang yang dilabur dalam amanah saham saban bulan

Q&A: Zakat wang dilabur saban bulan

Ustaz Hamizul Abdul Hamid, 02 Sep 2013

http://merdeka-online.com/home/wp-content/uploads/2012/12/saham.jpg
Soalan:

Ustaz, bagaimanakah caranya untuk saya mengira zakat pelaburan secara wang tunai yang dibuat secara bulanan, ke dalam pelaburan Unit Trust (Amanah Saham). Harga per unit untuk Unit Trust pula berubah-ubah setiap hari. Mohon pencerahan daripada ustaz. Terima kasih. Saya berikan data pelaburannya:

Tarikh Mula Labur: 1 Jan 2012
Kaedah Melabur: Bulanan
Jumlah Melabur: RM1,000 setiap bulan
Jangkamasa pelaburan: 10 tahun
Kadar keuntungan pelaburan: tidak tetap di anrara 5% – 15% setahun

Jawapan: Terima kasih kerana mengajukan persoalan dan semoga Allah SWT juga membantu saya dalam memberikan jawapan yang betul dan terbaik buat soalan ini, amin. Baiklah, apa yang saya fahami bahawa tuan telah memasukkan wang secara bulanan dengan tetap sepanjang tahun ke dalam Saham Amanah, bagi tempoh selama 10 tahun.

Sebelum itu, sepanjang tempoh 10 tahun itu, adakah tuan boleh mengeluarkan wang itu, sama ada sepenuhnya atau sebahagiannya atau tidak boleh sama sekali? Jika tidak boleh mengeluarkannya sehinggalah tempoh matang 10 tahun, maka sepanjang tempoh itu tiada zakat ke atasnya, kerana tuan tiada sempurna milik ke atas wang berkenaan. Tetapi jika boleh dikeluarkan tanpa perlu menunggu 10 tahun, maka tuan ada sempurna milik ke atasnya dan baharulah ia wajib ditaksirkan zakatnya.

Sekarang, kita andaikan tuan mempunyai sempurna milik ke atasnya, maka timbul pula persoalan, apakah kaedah yang mahu diaplikasikan dalam taksirannya? Zakat saham atau zakat simpanan?

Baiklah, suka saya membuat ulang kaji bahawa untuk zakat saham, di sana ada tiga jenis taksiran zakat saham sebenarnya.

Pertama, zakat saham yang dijual beli sepanjang tahun di bursa saham dan kiraannya, bagi setiap transaksi sepanjang tahun adalah disandarkan kepada mal al-mustaghallat (zakat pendapatan) dan pokok saham yang kekal (atau mungkin terkurang kerana kerugian dalam transaksi) disandarkan kepada zakat wang simpanan (dizakatkan ke atas nilai atau baki pokok terendah pada hujung tahun).

Kedua, zakat saham yang tidak diniagakan sepanjang tahun dan hanya diberikan keuntungan atau dividen atas baki unit saham yang ada pada penghujung tahun, yakni dengan adanya pertambahan nilai ke atas setiap unit saham berbanding semasa awal tahun atau semasa ia dibeli. Bagi kes zakat saham seperti ini, ia dikenakan kepada nilai keseluruhan saham dengan berdasarkan harga seunit pada hujung tahun berkenaan jika ia masih sampai kepada paras nisab.

Ketiga, zakat saham bagi modal yang dilaburkan ke dalam mana-mana syarikat perniagaan, dan kaedahnya hendaklah disandarkan sepenuhnya kepada zakat perniagaan, kerana sahamnya ketika itu adalah adalah dalam bentuk ‘share holder’ dalam sebuah syarikat perniagaan.

Saya juga cuba meneliti, dan saya dapati pelaburan tuan di atas, menyamai kaedah zakat saham yang kedua, yakni ia dilihat kepada hujung tahun ke atas jumlah keuntungan dan nilai RM keseluruhan unit saham yang dimiliki. Namun, timbul persoalan kerana tuan juga sentiasa menokok jumlah saham baru sepanjang tahun, sehinggakan di hujung tahun tuan sudah pun mempunyai nilai saham RM12,000.00. Maka, bagaimana pula dengan pertambahan saban bulan ini?

Maka, dalam kes ini keseluruhan wang yang tuan laburkan itu (RM12,000.00), ia juga hendaklah dikirakan zakat ke atasnya pada penghujung tahun berkenaan, dengan tidak hanya membataskannya kepada jumlah awal RM1,000.00 sahaja. Kenapa? Ini kerana, dalam zakat saham asasnya adalah disandarkan kepada zakat perniagaan, yang mana dalam kaedah perniagaan, modal hendaklah dicampurkan semasa pentaksiran zakatnya, walaupun penambahan modal itu hanya berlaku pada pertengahan tahun dan tidak genap setahun (cukup haul).

Di Lembaga Zakat Selangor (LZS) sendiri, mulai tahun 2010 fatwa telah memutuskan bahawa, taksiran ke atas zakat saham amanah adalah disandarkan kepada harga seunit saham dan keseluruhan pengembangannya (dividen + keuntungan + bonus dan sebagainya) yang diperoleh di hujung haul atau hujung tahun, dan baharulah dikeluarkan zakat ke atasnya sebanyak 2.5 peratus jika mencapai paras nisab.

Kesimpulannya, biar pun harga seunit saham amanah itu berubah setiap hari, tuan hanya perlu melihat kepada harga terakhir pada saat sampainya haul, yakni pada 1 Januari 2013 (atau boleh juga dibuat pada 31 Disember 2012). Sekiranya pada 1 Januari 2013, nilai keseluruhan saham tuan adalah RM13,800.00 (saya andaikan tuan dapat keuntungan 15 peratus dan nisab hanyalah RM13,000.00), maka itulah jumlah kasar yang perlu diambil darinya sebanyak 2.5 peratus sebagai zakat, iaitu sebanyak RM345.00 sahaja. Wallahua’lam.

Ustaz Hamizul Abdul Hamid
Eksekutif Komunikasi Korporat
Lembaga Zakat Selangor (MAIS)


http://www.hamizul.com/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular Posts