Adobe paling banyak cetak rompak  
Rosli (dua, kiri) menunjukkan komputer yang dirampas dalam 
satu operasi di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Wilayah Persekutuan merampas sebanyak 68 komputer serta 363 perisian cetak rompak bernilai kira-kira RM2.38 juta bagi tempoh Januari lalu sehingga kelmarin.

Timbalan Pengarah KPDNKK Wilayah Persekutuan, Rosli Ahmad berkata, kesemua rampasan itu dijalankan di sekitar Kuala Lumpur dan siasatan menunjukkan perisian jenis Adobe dan Microsoft adalah perisian paling banyak dicetak rompak.

Beliau berkata, terbaru, sebanyak tiga buah komputer mengandungi 19 perisian cetak rompak dianggarkan bernilai RM115,500 dirampas pihaknya dalam serbuan yang dibuat ke atas sebuah produksi video terletak di ibu negara, kelmarin.

Menurutnya, serbuan dibuat selepas pihaknya menerima aduan daripada syarikat kesatuan perisian, Business Software Alliance (BSA).

"Siasatan dapati kesemua perisian terbabit dicetak rompak oleh syarikat produksi video terbabit dan ketika diserbu tiada tangkapan dibuat.

"Usaha mengesan pemilik produksi itu sedang giat dijalankan dan kes disiasat di bawah Akta Hakcipta 1987," katanya pada sidang akhbar, semalam.

Rosli berkata, semua syarikat diingatkan supaya menggunakan perisian komputer tulen dan sekiranya ingkar, pihaknya akan mengambil tindakan tegas ke atas syarikat berkenaan.

“Jika mereka menggunakan perisian cetak rompak, mereka akan disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Hakcipta 1987,” katanya.

Sementara itu Pengarah Pemasaran BSA Cawangan Asia Pasifik, Roland Chan berkata, pihaknya dengan kerjasama KPDNKK seluruh negara sudah mengedarkan surat kepada 27,000 syarikat di seluruh Malaysia supaya membuat audit ke atas komputer masing-masing bagi memastikan perisian cetak rompak tidak digunakan dalam satu kempen Ops Semak Tulen.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 10,820 syarikat daripada pelbagai sektor gagal memberikan maklum balas,” katanya.

Roland berkata, setakat ini, sebanyak sebanyak 210 komputer yang mengandungi 932 perisian cetak rompak yang bernilai RM7.45 juta.