Bapa mentua lega menantu ditahan polis

Oleh Suraya Roslan

Seremban: “Ketika menerima perkhabaran menantu sudah ditahan, saya lega dan bersyukur kerana doa supaya dia segera ditahan dimakbulkan,” kata Juriah Hashim, 55, ibu kepada Nor Hafazalina Mohd, 30, yang dikelar 18 kali di pipi, bibir, dahi dan tangan hingga menerima 80 jahitan akibat tindakan kejam suaminya itu.

Menurutnya, berita gembira itu diterima selepas dimaklumkan polis yang mengesahkan mengenai penangkapan menantunya di Selangor.

“Saya difahamkan, menantu ditahan di Klang, Selangor berkait laporan kes ragut.

“Selepas itu akan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban bagi membantu siasatan kerana mendatangkan kecederaan parah kepada anak,” katanya.


Menurutnya, sebelum menantunya ditahan, Nor Hafazalina seolah-olah trauma bimbang didatangi suaminya.

“Sebaik mengetahui hal ini (penahanan) Nor Hafazalina gembira dan mahu suaminya dijatuhi hukuman berat kerana mencederakannya.

“Selepas kejadian itu, Nor Hafazalina trauma dan kerap terkejut selain mukanya masih berparut kesan dikelar,” katanya.

Juriah berkata, bagaimanapun, selagi dia tidak melihat sendiri menantu ditahan, dia masih berasa ragu-ragu.

“Saya mahu bersemuka dengan menantu dan mahu mengetahui mengapa sanggup mencederakan isterinya.

“Saya tidak akan menarik balik laporan polis dan mahu menantu dihadapkan ke muka pengadilan,” katanya.

Sebelum ini, akhbar melaporkan penderitaan Nor Hafazalina dikelar 18 kali oleh suaminya yang juga penagih dadah di sebuah rumah di Ampangan, di sini, bulan lalu.

Wanita dua anak itu menerima 80 jahitan akibat tindakan kejam suaminya pada jam 5 petang selepas dia minta diceraikan kerana tidak tahan dengan sikap lelaki terbabit yang tidak bertanggungjawab serta kerap keluar dan masuk penjara.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular Posts