Nelson Mandela  
Nelson Mandela

SUATU ketika dulu, nama Nelson Mandela, 95 menjadi sebutan atas perjuangannya terhadap dasar aparteid (penyisihan) yang sudah diamalkan di Afrika Selatan.

Di Afrika Selatan, Aparteid merujuk kepada penyisihan kaum antara kulit putih dengan kulit hitam.

Mandela merupakan seorang peguam yang beberapa kali ditangkap ekoran perjuangannya itu.

Pada tahun 1962, beliau ditangkap dan disabitkan kesalahan atas tuduhan sabotaj serta konspirasi untuk menggulingkan kerajaan di mana Mandela dihukum penjara seumur hidup.

Setelah 27 tahun dipenjara, satu kempen antarabangsa menuntut kebebasan Mandela dilakukan dan diluluskan pada tahun 1990.

Dasar aparteid itu telah dimansuhkan apabila beliau menjadi presiden kulit hitam pertama di Afrika Selatan pada tahun 1994.

Mandela pernah memenangi Hadiah Nobel Keamanan pada 1993 iaitu setahun sebelum terpilih sebagai presiden pertama yang mendapat sokongan dan undi daripada semua bangsa di Afrika Selatan.

Setelah lima tahun, Mandela akhirnya mengundur diri dari dunia politik.

Mandela pulang ke kampung halamannya di Johannesburg dan kali terakhir beliau muncul di khalayak ramai pada perlawanan akhir Piala Dunia bola sepak yang dihoskan oleh Afrika Selatan pada Julai 2010.

Mandela berkahwin sebanyak tiga kali dan dikurniakan enam orang anak.

Tahap kesihatan ikon antiaparteid itu yang semakin uzur mencetuskan kebimbangan di benua Afrika, selepas Mandela dimasukkan ke hospital awal tahun lalu kerana jangkitan pernafasan akut.

Setelah beberapa bulan menerima rawatan, akhirnya beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir di rumahnya, semalam kerana jangkitan paru-paru yang dihidapinya itu.

Pemergiannya turut dirasai di pelusuk dunia.

Pengumuman mengenai berita kematian tersebut dibuat oleh Presiden Afrika Selatan, Jacob Zuma.