Kitar semula telefon bimbit  
Pengarah Eksekutif MNS, Shah Redza Hussein (kiri) dan 
Sean Ng menunjukkan lebih 10,000 telefon terpakai yang 
berjaya dikumpulkan untuk dikitar semula.

SELARAS dengan inisiatif untuk membendung atau menurunkan kadar pembaziran dan pencemaran yang disebabkan oleh bilangan telefon pakai buang yang melampau di Malaysia, Ninetology Asean dan Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) menubuhkan program kitar semula telefon mudah alih yang eksklusif, Smart Ecology 2, untuk mengurangkan kesan kerosakan yang berleluasa terhadap alam sekitar.

MNS mengiktiraf Ninetology sebagai pemangkin program positif ini yang serentak diaktifkan di seluruh negara.

Sebelum program ini, pengguna yang ingin memiliki telefon baharu tidak ada cawangan yang benarkan mereka untuk sekali gus menyumbang ke arah pembaikan alam sekitar.

Dengan inisiatif baru ini, pengguna kini ada pilihan untuk beli telefon pintar Ninetology yang baharu dengan potongan harga, hanya dengan konsep ‘trade-in’ telefon-telefon lama pengguna.

Telefon-telefon lama yang dikumpulkan oleh MNS dan pasukan ‘Recycle for Nature’ akan dilupuskan atau dikitarkan semula secara beretika dengan kaedah ‘Green Recycling’. Peranti yang masih boleh digunakan akan diasingkan untuk penghasilan peranti baharu akan datang.

“Ia tidak begitu bijak untuk mengumpul peranti-peranti lama yang tidak digunakan di dalam rumah kita sendiri, kerana ia mendedahkan ancaman bahaya kepada seisi keluarga dalam jangka masa panjang. Terutama, apabila adanya telefon-telefon pintar baharu yang dilancarkan hampir setiap hari.

"Oleh itu, inisiatif Smart Ecology 2 bersama MNS mampu mendedahkan pilihan baharu bagi pengguna untuk menaik taraf telefon mereka, di samping merebut peluang menyumbang kembali kepada alam sekitar," kata Ketua Pegawai Eksekutif Ninetology Asean, Sean Ng.