Shisha lebih bahaya daripada rokok?

Shisha atau juga dikenali dengan nama 'hookah' 
adalah sejenis peralatan paip air yang menegak.- 
Gambar hiasan

BERSANTAI di kafe atau restoran sambil sambil menyedut shisha bukanlah perkara luar biasa di kota metropolitan seperti Kuala Lumpur pada waktu malam.

Mereka yang biasanya terdiri daripada golongan muda atau pertengahan usia akan berbual panjang tanpa menghiraukan kepulan asap shisha.

Shisha atau juga dikenali dengan nama 'hookah' adalah sejenis peralatan paip air yang menegak dan lazimnya digunakan untuk menghisap tembakau yang berperisa.

Gaya hidup ini sudah lama diamalkan di Timur Tengah. Sebelum kemunculan tembakau, bahan yang sering digunakan di dalam shisha adalah candu dan hashish. Shisha dipercayai mula membanjiri negara ini dengan kedatangan pelancong-pelancong dari Timur Tengah khususnya sekitar 1990-an.

Ramai juga menyatakan ia lebih selamat daripada merokok, tetapi adakah fakta ini benar?

Satu kajian yang dijalankan Persatuan Paru-paru Amerika pada 2007 menunjukkan peningkatan penggunaan shisha di seluruh dunia dan kebanyakannya terdiri daripada remaja dan pelajar universiti. Mereka menganggap shisha suatu produk herba dan berpendapat bahawa asap shisha tidak mengandungi tembakau.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan sedang mengkaji peruntukan undang-undang yang sesuai bagi mengharamkan aktiviti menghisap dan perniagaan berasaskan shisha di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, kajian yang dilaksanakan itu meliputi pelbagai kesan buruk akibat tabiat menghisap shisha yang semakin popular termasuk dalam kalangan belia.

Kajian berkenaan meliputi beberapa aspek yang perlu diambil kira sebelum keputusan muktamad dikeluarkan.

Berdasarkan laporan awal yang diperolehi pihak kementerian, terdapat pelbagai unsur negatif disebabkan tabiat menghisap shisha kerana ada yang memasukkan nikotin pelbagai perisa termasuk mencampurkan dadah dan itulah punca masalah bermula.

Dalam konteks ini, isu yang timbul adalah bahan perisa yang digunakan di negara ini didapati berbeza dengan budaya menghisap shisha di Pakistan dan Afghanistan yang menjadi tradisi rakyat negara itu yang menggunakan herba asli sebagai perisa.

Asap toksik

Menurut Pakar Perubatan dan Pernafasan Pusat Perubatan Prince Court, Dr. Daniel Lee Keat Chye, kebanyakan pengguna menganggap shisha selamat dan tidak memberi kesan kepada kesihatan.

Sebaliknya, Dr. Daniel berpendapat, sebenarnya shisha lebih berbahaya daripada sebatang rokok.

“Cara penyediaan shisha sebenarnya mendatangkan bahaya kerana puncak balang hookah atau mangkuk yang menakung shisha selalunya diliputi kerajang aluminium dan bara diletakkan di atasnya untuk memanaskan tembakau tersebut. Asap toksik terhasil apabila bara arang bertindak balas dengan kerajang aluminium.

“Bukan itu sahaja, tapak balang hookah yang berasaskan kaca berperanan sebagai kebuk asap dan diisi dengan air. Air ini akan bercampur dengan asap toksik dan akan menambah kelembapan asap. Ini mengakibatkan wap dan asap karsinogenik berada lama dalam paru-paru," ujarnya.

Ia secara tidak langsung menjadikan asap yang disedut ketika menikmati shisha lebih banyak berbanding sebatang rokok.

Tambah Dr. Daniel, ramai pengguna shisha tidak menyedari aktiviti ini boleh menyebabkan ketagihan nikotin sama seperti rokok.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), satu sesi selama 60 minit bershisha menghasilkan antara 100 ke 200 kali lebih banyak asap berbanding rokok biasa.

Shisha juga dikatakan 400 kali lebih bahaya daripada rokok kerana mengandungi karbon monoksida, nikotin dan tar dalam kepekatan yang tinggi.

“Lazimnya shisha akan dihisap antara 45 minit hingga satu jam manakala sebatang rokok pula hanya sekitar lima minit.

“Jadi kesan-kesannya adalah sama seperti perokok iaitu penghisap shisha berisiko menghidap kanser paru-paru, sakit dada, kerosakan koronari jantung dan mengalami kesan sampingan akibat pengambilan nikotin secara berlebihan," ujarnya.

Jelas beliau, perkongsian paip shisha juga boleh mendedahkan mereka kepada penyakit yang merebak melalui air liur seperti tuberkulosis atau TB (tibi).

Kita tidak tahu secara jelas latar belakang orang yang berkongsi paip dengan kita dan mungkin jika pengguna shisha sebelum itu mengalami batuk, selesema atau demam, kita boleh dijangkiti.

Dr. Daniel menasihatkan orang ramai agar tidak menjadikan aktiviti menghisap shisha sebagai gaya hidup.

“Secara umumnya, mungkin ramai yang beranggapan aktiviti ini tidak berbahaya berbanding dengan rokok. Sebenarnya, kesannya masih sama dan mungkin lebih teruk daripada merokok. Oleh itu, orang ramai perlu menjauhi aktiviti ini dan lakukan perkara yang lebih baik," ujarnya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Kesihatan/20131201/kn_03/Shisha-lebih-bahaya-daripada-rokok#ixzz2naVShSQT
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular Posts