Stesen TV perlu anjakan selari dengan keprihatinan sosial dan budaya kita

TELEVISYEN adalah medium yang paling berpengaruh dalam konteks pembudayaan sosial dan budaya masyarakat. Ketika peti televisyen bukan lagi barang mewah seperti ketika zaman awalnya, isi kandungan televisyen menjadi menu sosial yang boleh membentuk jalur pemikiran masyarakat.

Isi kandungan di stesen televisyen seharusnya bukan sekadar hiburan, tetapi lebih utama yang boleh membangunkan keprihatinan terhadap sosial dan budaya dalam kalangan masyarakat.

Bukan itu sahaja malah pengisian sesebuah stesen televisyen merupakan jendela yang membuka masyarakat kepada dunia luar disamping usaha melestarikan budaya setempat.

Maka stesen televisyen secara tidak langsungnya mempunyai tugas yang cukup besar dalam membentuk pemikiran masyarakat untuk menghadapi gelombang pasca moden yang datang bersama globalisasi dan pendemokrasian maklumat.

Kebelakangan ini secara umumnya pengisian di stesen televisyen tempatan bukan sahaja longgar malah tidak ada hala tuju dalam konteks pembinaan pemikiran.

Kebanyakan stesen televisyen lebih kepada rancangan hiburan realiti yang kononnya mampu melahirkan artis-artis serta penghibur pelapis. Permintaan penonton terhadap rancangan begini semakin meningkat, maka atas dasar komersialisme, stesen televisyen tempatan mengutamakan permintaan penonton berbanding tanggungjawab sosial.

Perang rating (penarafan) telah menutup peranan yang seharusnya dijalankan oleh stesen televisyen. Perhitungan untung rugi dalam kompas dagang meminggirkan peri pentingnya rancangan yang mampu menyediakan masyarakat cabaran dunia masa depan.

Misalnya drama yang disiarkan di televisyen mampu menganjak penghayatan masyarakat terhadap karya yang bercitra tinggi. Tetapi malangnya ini tidak berlaku malah kalau dibandingkan pada era RTM 20 tahun lalu, drama sekarang jauh di belakang dan ini membuktikan selera masyarakat yang rendah dituruti oleh stesen televisyen.

Stesen televisyen tidak boleh menjadi tukang turut yang membuta tuli asalkan penonton suka kepada sesuatu drama. Mesti wujud timbal balik antara stesen dengan masyarakat supaya isi kandungan televisyen tidak ekstrem dan citra penonton dapat dipertingkatkan.

Ketika ini penonton cenderung terhadap rancangan-rancangan yang langsung tidak membina pemikiran. Rancangan hiburan langsung tidak diselitkan penghayatan seni kerana yang ditonjolkan seni murahan yang tidak sepadan dengan kedudukan negara ini di pentas dunia.

Tambah menyedihkan ketika, rancangan realiti berbentuk hiburan nyanyian untuk kanak-kanak juga semakin bercambah. Adakah kita hanya mahu melihat dan melahirkan generasi baru kita sebagai penghibur semata-mata selepas ini?

Persoalan seperti ini sepatutnya dijawab sebelum apa-apa keputusan dibuat agar kita tidak menyesal di hadapan hari.

Hala tuju stesen-stesen televisyen tempatan perlu jelas dalam percaturan antara tanggungjawab dan tuntutan komersialisme.

Ketika ini aliran ( trend) membuat drama adaptasi novel menjadi satu fenomena. Drama adaptasi tidak ada masalahnya tetapi sumber yang bagaimana jadi persoalan. Sumber adaptasi adalah novel picisan dan akhirnya melahirkan drama picisan yang menyumbang kepada penularan masalah sosial dalam masyarakat.

Stesen televisyen perlu mencontohi TV Al-Hijrah walaupun baru berusia tiga tahun tetapi mempunyai hala tuju yang jelas ke arah pembinaan masyarakat. Kalau dilihat daripada sudut perniagaan, hala tuju yang dipilih oleh Al Hijrah tidak menguntungkan kerana isi kandungannya tidak seperti stesen lain yang menghalalkan perkara yang dilarang oleh Islam.

Tetapi dari sudut yang lebih dalam pula kita memerlukan stesen televisyen yang mempunyai hala tuju membina masyarakat, bukan sahaja wujud sebagai entiti perniagaan semata-mata.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular Posts