Umno-Pas: Susah sangatkah hendak muzakarah?

OLEH: PROFESOR MADYA DR MOHAMAD AGUS YUSOFF
Tarikh: December 10, 2013

SUDAH lama kita mendengar hasrat Umno dan Pas untuk bermuzakarah sehingga ada yang sudah bosan untuk mendengarnya.

Walaupun Presiden Pas menyatakan kesediaannya untuk bermuzakarah dan disambut pula oleh Timbalan Presiden Umno semasa berucap dalam Perhimpunan Agung Umno yang lalu, namun realitinya, sehingga kini, masih belum ada apa lagi yang berlaku.

Saya tidak faham mengapa dua parti Melayu dan Islam ini begitu sukar untuk bermuzakarah? Syarat yang diberikan oleh Timbalan Presiden Umno mudah sahaja: Pas perlu mengemukakan cadangan tentang skop perbincangan serta pimpinan yang perlu hadir untuk menjayakan usaha tersebut.

Jika sayalah pemimpin Pas, saya akan kemukakan apa yang diminta oleh Timbalan Presiden Umno demi untuk memulakan muzakarah ini.

Betul, ada sejarah hitam hubungan Umno-Pas. Betul, Pas tidak mahu lagi terjatuh ke dalam lubang yang sama buat kali keduanya mengingatkan penyatuan terdahulu pada tahun 1974 telah meninggalkan luka dan parut kepada Pas.

Betul, boleh dipersoalkan mengapa Umno hanya mahu bermuzakarah dengan Pas sahaja dan tidak dengan pemimpin Melayu dalam PKR atau NGO-NGO Melayu-Islam yang lain seperti ABIM, ISMA dan IKRAM?

Bagi saya, biarlah dahulu semua itu. Yang penting mulakan muzakarah dahulu. Pas tidak wajar selama-lamanya menyimpan perasaan curiga dan skeptikal pada Umno. Berjiwa besarlah dahulu. Inilah asasnya untuk melangkah ke depan.

Sekiranya muzakarah ini didakan apakah yang saya harapkan? Saya mahukan pertemuan tersebut tidak hanya untuk membincangkan isu hudud atau isu kuasa Melayu sahaja, tetapi saya mahukan perbincangan yang lebih besar melibatkan soal ekonomi rakyat dan negara, dan juga soal politik, keselamatan dan pembangunan negara.

Merenung kembali, saya kekadangnya menganggap jiwa pemimpin kita ini tidak besar. Persoalan siapa yang harus memulakan usaha muzakarah pun sukar untuk diputuskan? Jika perlukan orang tengah, carilah orang tengah tersebut asalkan di akhirnya, pertemuan dan perbincangan dapat direalisasikan.

Ingatkah kita pada pemimpin Zimbabwe, Robert Mugabe? Pertelingkahan beliau dengan musuh politiknya Morgan Tsvangirai adalah luar biasa sekali, tetapi akhirnya pada 11 Februari 2009, mereka dapat bersama dalam kerajaan dengan Mugabe kekal sebagai Presiden dan Tsvangirai sebagai Perdana Menteri.

Biarpun kerjasama ini gagal tiga tahun kemudian, namun mereka dapat sekurang-kurangnya bersama setelah perudingan dan perbincangan diadakan. Tidak mahukah kita begitu?

Atau lihat sahaja kepada negara-negara Vietnam, Yaman dan Jerman yang pernah berpecah. Mereka bukan setakat dipecahkan kepada dua negara, tetapi terlibat dalam perang dan dipisahkan oleh jarak ideologi yang berbeza.

Tetapi kesediaan untuk berunding, akhirnya membolehkan mereka bersatu. Vietnam disatukan pada 2 Julai 1976, Yaman pada 22 Mei 1990 dan Jerman pada 3 Oktober 1990.

Negara-negara ini, biarpun merangkak setelah penyatuan, apa yang pasti ialah mereka kekal sebagai sebuah negara bangsa yang merdeka.

Vietnam misalnya, setelah diperkenalkan dasar Doi Moi pada tahun 1986, pada hari ini melangkah secara perlahan-lahan, tetapi pasti meninggalkan negara kita dari segi keupayaannya untuk menarik pelancong dan pelabur asing. Malah, sudah ramai orang kita yang berminat untuk pergi melancong dan membeli-belah di bandar Ho Chi Minh.

Aduh, semoganya selepas ini hasrat muzakarah Umno-Pas boleh menjadi realiti, bukannya sekadar kenyataan politik sahaja.

Profesor Madya Dr Mohamad Agus Yusoff Pensyarah kanan Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Mohamad Agus Yusoff

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular Posts