Wanita Malaysia mudah ditipu

http://uploads.malaysia-terkini.com//Wanita-Malaysia-berkerjaya-mudah-ditipu-di-internet.jpg
KUALA LUMPUR 5 Dis. - Golongan wanita di negara ini dipercayai mudah ditipu dan diperdaya oleh individu yang tidak dikenali dalam urusan-urusan tertentu membabitkan kerugian mencecah RM5.2 juta.

Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong berkata, statistik itu dikeluarkan berdasarkan laporan dan aduan yang diterima oleh pihaknya sepanjang tahun ini dan 2012 berhubung wanita Malaysia yang ditipu dan diperdaya individu tertentu.

Menurut beliau, pada tahun lalu, pihaknya menerima 13 aduan membabitkan golongan wanita terjebak dengan pelbagai kes penipuan seperti bomoh palsu dan mencari jodoh, melibatkan jumlah kerugian mencecah sehingga RM3.3 juta.

''Bagaimanapun, jumlah tersebut berkurangan pada tahun ini dengan anggaran kerugian berjumlah RM1.9 juta melibatkan sembilan kes penipuan yang menjadikan keseluruhan kerugian mencecah hingga RM5.2 juta," katanya di sini hari ini.

Sementara itu, seorang wanita berputih mata setelah kerugian RM3,800 akibat terpedaya dengan lelaki baharu dikenali dan berjanji melamarnya pada hujung bulan ini.

Mangsa hanya dikenali sebagai Vanesa, 29, berkata, dia berkenalan dan bercinta dengan seorang lelaki yang dikenali dengan nama Tiju George Thomas menerusi website shaadi.com pada November lalu.

Katanya, setelah berkenalan selama sebulan, mereka berjumpa dan lelaki berkenaan meminta mangsa membantunya menguruskan restoran miliknya di Jalan Klang Lama dekat sini.

''Tiju juga meminta saya menyerahkan wang tunai RM3,800 untuk membayar sewa kedai dan berjanji akan memulangkannya semula. Keesokannya, saya menerima panggilan daripada kawan Tiju yang dikenali dengan nama 'Krrish' menyatakan bahawa dia ditahan polis dan meminta wang jaminan.

''Krrish mengugut akan mengganggu kehidupan saya dan dia tidak dapat berjumpa lagi dengan Tiju. Ekoran tidak berpuas hati, saya pergi ke restoran berkenaan dan mendapati premis itu belum dibuka," katanya.

Kata Vanesa, dia juga mencari maklumat dan mendapati Tiju merupakan antara salah seorang individu dikehendaki di Kerala, India kerana terlibat dengan kes penipuan dan berjaya menghubungi beberapa wanita yang menjadi mangsa penipuannya.

''Saya membuat laporan di Balai Polis Brickfields kerana khuatir terhadap keselamatan saya," katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Supritendan Fadil Marsus mengesahkan pihaknya telah menahan suspek dan lelaki itu telah pun didakwa di mahkamah serta menjalani hukuman penjara.

''Apabila tamat hukuman penjara di negara ini, suspek akan diserahkan kepada Interpol dan akan didakwa di negaranya,"katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131206/je_03/Wanita-Malaysia-mudah-ditipu#ixzz2mg6AXV1l
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular Posts