Wanita Uighur dilarang bertudung

SEKUMPULAN wanita Uighur berdiri di luar masjid di Kashgar, wilayah Xinjiang, China.

SEORANG kakitangan awam China yang berada di Kashgar memberi isyarat kepada dua orang wanita di seberang jalan untuk datang kepadanya, lalu mencatat butiran mereka di bawah pengawasan sebuah kamera. Kesalahan yang telah dilakukan oleh kedua-dua wanita berkenaan ialah memakai tudung.

Tindakan tersebut merupakan sebahagian daripada kempen Projek Kecantikan yang dijalankan oleh pihak berkuasa bagi menggalakkan wanita Islam Uighur mendedahkan muka dan tidak berpurdah. Tindakan itu didakwa dilakukan demi untuk meningkatkan tahap keselamatan negara.

Bagaimanapun, pengkritik memberi amaran bahawa tindakan itu akan menyemai perasaan benci rakyat terhadap pihak berkuasa.

"Kami perlu berpegang teguh kepada agama dan mereka (pihak berkuasa) sepatutnya memahaminya," kata seorang wanita berusia 25 tahun yang pernah ditahan sebanyak dua kali.

Bercakap di sebalik penutup wajah yang dikait benang putih, dia memaklumkan, pesalah dipaksa menonton filem tentang keseronokan menunjukkan wajah mereka.

"Bagaimanapun, cerita itu tidak berjaya mengubah pemikiran orang ramai," jelasnya.

Xinjian, sebuah kawasan luas yang bersempadan dengan Pakistan dan Asia Tengah di bahagian barat China, telah mengikuti ajaran Islam sejak berabad-abad lamanya. Ia telah berada di bawah pemerintahan China semasa Dinasti Qing pada lewat tahun 1800-an.

Sejak bertahun-tahun, ketenteraman kawasan tersebut didakwa terganggu oleh tindakan masyarakat etnik Uighur. Ini menurut kumpulan hak asasi, dipacu oleh penindasan budaya dan gangguan langkah keselamatan. Namun demikian, kepada pemerintah China, keadaan itu disebabkan oleh tindakan pelampau agama, keganasan dan perpecahan kaum.

Cetuskan konflik

Kebimbangan pihak berkuasa semakin meningkat selepas serangan maut yang berlaku di Dataran Tiananmen, Beijing baru-baru ini yang didakwa pihak polis telah dilakukan oleh masyarakat Uighur.

Penduduk di Kashgar memberitahu, larangan memakai tudung telah mencetuskan sekurang-kurangnya konflik yang mengakibatkan kematian di bandar yang 90 peratus daripada 3.3 juta penduduknya terdiri daripada etnik Uighur.

"Bagi pihak pemerintah China, proses itu terpaksa dijalankan ekoran dakwaan pejuang Islam meminta kemerdekaan dan perpisahan. Ekoran daripada itu, mereka telah menetapkan had ketat ke atas aktiviti keagamaan masyarakat Islam," kata seorang saintis politik di Universiti Nasional Singapura, Shan Wei.

Bagi pihak Uighur pula, mereka mendakwa tidak terlibat dalam pergerakan politik dan bukan puak pemisah, tetapi pihak pemerintah telah menjalankan banyak sekatan yang mengganggu aktiviti keagamaan sehingga menimbulkan perasaan benci.

Menurut lelaki tersebut, masyarakat Islam minoriti di China tidak menghadapi perkara yang sama seperti Uighur.

Atlet-atlet wanita di Kashgar akan memakai pelbagai fesyen tudung, dengan skarf berwarna terang yang dililit di kepala dan mendedahkan bahagian leher seperti turban. Tidak kurang juga yang memakai purdah hitam dengan hanya menampakkan mata seperti wanita-wanita Arab Saudi.

Bagaimanapun, polisi yang menghalang mereka daripada menutup wajah dan menunjukkan rambut tidak diuar-uarkan. Pihak berkuasa bandar itu enggan mengulas mengenai perkara tersebut dan pada masa yang sama pegawai-pegawai Xinjiang juga tidak dapat dihubungi. Sungguhpun demikian, papan-papan tanda Projek Kecantikan boleh dilihat di seluruh bandar berkenaan.

Seorang tukang jahit berkata, kakitangan kempen tersebut telah mengarahkannya supaya tidak menerima tempahan jubah labuh yang sering dipakai dengan penutup muka.

Menurut penduduk tempatan lain, untuk memasuki pejabat-pejabat kerajaan, bank atau mahkamah, wanita Muslim terpaksa menanggalkan tudung mereka dan lelaki pula perlu mencukur jambang.

Di Hotan, sebuah lagi bandar yang mempunyai ramai penduduk Uighur, sekurang-kurangnya satu hospital telah menerima borang daripada pihak pemerintah untuk melaporkan kemasukan pesakit-pesakit yang memakai tudung.

Ironinya, portal web Xinjiang memaparkan bahawa Projek Kecantikan tidak menyatakan sebarang larangan memakai tudung sebaliknya menyenaraikan matlamatnya yang menggalakkan penggunaan produk-produk kecantikan tempatan dan barangan lain. Ia turut menggalakkan wanita China menjadi pengamal budaya moden.

Bersikap terbuka

Menurut seorang pakar Xinjiang di Indiana University Bloomington, Gardner Bovingdon, pihak pemerintah telah cuba menghalang pemakaian tudung sejak mengambil alih kuasa pada tahun 1949, melancarkan usaha ateisme dan mengenakan larangan secara menyeluruh pada tahun 1960-an dan 1970-an.

"Peraturan tersebut dilonggarkan pada tahun 1980-an apabila pemerintah China lebih bersikap terbuka. Tetapi ia menjadi ketat semula pada dekad seterusnya selepas protes-protes berunsurkan agama berlaku," katanya.

Walaupun demikian, sesetengah etnik Uighur menyokong tindakan kerajaan dengan alasan pembunuh berani mati atau pencuri mungkin akan mengeksploit purdah dan jubah yang dipakai dengan menyembunyikan bahan letupan dan identiti mereka.

Mereka turut mengeluarkan hujah tentang pendekatan agresif pihak berkuasa yang telah menimbulkan kebencian dan keganasan, termasuk serangan masyarakat Uighur terhadap polis di Maralbishi, sebuah daerah di luar Kashgar pada bulan April lalu yang menyebabkan 21 kematian.

Segelintir penduduk Uighur memberitahu, serangan itu berlaku selepas orang ramai kecewa dengan tindakan seorang pegawai kerajaan yang memaksa seorang wanita menanggalkan tudungnya. - AFP

Artikel Penuh: http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1212&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_03.htm#ixzz2nInNYKMS
Hakcipta terpelihara

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular Posts