Ada cara hapuskan premis judi online

Tan Sri Abdul Rahim Mohd Noor
Oleh: NORUTUL ILHAM MAD JARI
Tarikh: January 20, 2014

SHAH ALAM - Kaedah penyusupan atau penyamaran merupakan cara terbaik untuk polis menghapuskan premis judi haram online daripada terus tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Mohd Noor berkata, hanya dengan kaedah itu polis akan mendapat maklumat yang cukup untuk membuat serbuan.

"Pokok pangkalnya kaedah dengan menyamar bagi mendapatkan maklumat adalah sangat penting kerana dengan itu dapat pastikan bagaimana judi online terus berkembang.

"Kalau zaman dulu kita ada guna sumber-sumber dalam sindiket perjudian untuk mendapatkan maklumat, jadi daripada situ kita akan kawal dan ada juga polis akan membuat penyamaran," katanya kepada Sinar Harian.

Kata beliau, meskipun dikatakan judi haram online susah dikawal berbanding judi konvensional, namun dengan kecanggihan teknologi yang ada pada pihak berkuasa, beliau yakin tidak timbul masalah untuk membanteras gejala ini.

"Saya yakin polis sentiasa bersedia membanteras, mereka juga mengikuti peredaran zaman jadi kalau judi online ini, mungkin mereka sudah ada peralatan untuk membantu siasatan.

"Masa saya dulu, judi konvensional ini kerja biasa polis untuk buat serbuan dan tangkapan jika tidak mempunyai lesen. Judinya pula pelbagai bentuk contohnya bola sepak sehingga boleh menentukan perlawanan," katanya.

Mengulas lanjut, katanya beliau yakin dengan keupayaan polis untuk menghapuskan  pusat judi haram sama ada online atau konvensional.

"Dulu kita tidak ada lagi judi online, tapi sekarang bermacam-macam jenis yang dimuat naik melalui online untuk menarik minat orang untuk berjudi.

"Sejak dulu lagi kita guna pelbagai kaedah untuk banteras judi, tapi mungkin dengan judi onlline ini caranya boleh dipelbagaikan," katanya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular Posts