Angin sejuk hingga hujung Februari  
Pegawai di Pejabat Meteorologi Pahang, Noora Rosli, 26, memantau keadaan suhu pada setiap jam di Malaysia.

KUANTAN – Penurunan suhu di beberapa daerah di Pahang secara relatifnya disebabkan beberapa faktor termasuk bulan Januari dan Februari yang merupakan tempoh di mana suhu minimum agak rendah berbanding bulan-bulan lain.

Pengarah Pejabat Meteorologi Negeri Pahang, Azmi Daud berkata, suhu udara sejuk daripada biasa yang dirasai di kebanyakan tempat, terutamanya di kawasan Pantai Timur dan Utara Semenanjung pada minggu ini adalah disebabkan tiupan angin Timur Laut yang agak kencang.

“Tiupan angin ini datangnya dari tanah besar China yang pada ketika ini sedang mengalami musim sejuk.

“Disebabkan tiupan angin ini sangat kuat dan mengenai keseluruhan negeri Pantai Timur Semenanjung Malaysia jadi kerana ini negeri-negeri ini berkeadaan lebih sejuk berbanding negeri di Pantai Barat Semenanjung Malaysia,” katanya, semalam.

Jelas Azmi, dalam keadaan kedinginan ini keadaan cuaca masih berada di tahap yang baik.

“Keadaan yang tidak berawan di seluruh Semenanjung Malaysia terutama di Pahang, Terengganu dan Kelantan sepanjang minggu ini turut menjadi faktor membantu merendahkan suhu pada waktu malam dan awal pagi.

“Keadaan atmosfera tanpa awan boleh disamakan dengan keadaan di mana tiadanya selimut untuk memanaskan badan kita, di mana selimut adalah awan dan badan kita adalah Bumi.

“Oleh kerana itu, keadaan kita lebih sejuk berikutan terdedah kepada keadaan angin Timur Laut yang bertiup kencang dan diramalkan ia berlaku sehingga penghujung Februari ini sahaja,” katanya.

Jabatan Meteorologi semalam, mencatatkan suhu di Cameron Highlands antara 12.3 darjah Celsius hingga 22 darjah Celsius.

Suhu di Kuantan pula turun kepada 20.8 darjah Celsius berbanding kelmarin, iaitu 21 darjah Celsius, manakala suhu maksimum ialah 28 darjah Celsius.

Stesen Temerloh merekodkan 20 darjah Celsius hingga 28.1 darjah Celsius.