Chong Wei bakal gantung raket?

Chong Wei bakal gantung raket?
Chong Wei bakal gantung raket? Datuk Lee Chong Wei ketika menentang Tommy Sugiarto dari Indonesia pada final kejohanan Terbuka Siri Super Malaysia 2014, di Stadium Putra Bukit Jalil. - Foto Sinar Harian oleh Zulfadhli Zaki

JAGUH badminton negara, Datuk Lee Chong Wei mengumumkan untuk bersara pada penghujung tahun ini jika prestasi beliau tidak berada pada tahap terbaik.

Menurut pemain nombor satu dunia itu, faktor kepenatan dan mempunyai masalah peribadi juga antara punca mendorong beliau untuk  menamatkan kerjaya sebagai pemain badminton tahun ini.

"Sebenarnya saya ada banyak masalah peribadi. Selain itu, saya juga sudah berkeluarga dan sering meninggalkan mereka dalam beberapa bulan untuk memberikan tumpuan kepada kejohanan... jadi saya rasa sudah tiba masa untuk saya memberi perhatian kepada mereka.

"Tetapi saya akan buat yang terbaik pada Sukan Asia dan Sukan Komanwel sebab tahun ini banyak kejohanan penting. Saya juga akan cuba untuk beraksi sehingga Sukan Olimpik Rio de Janeiro 2016 di Brazil jika keadaan mengizinkan.

"Apa pun saya yakin, Liew Daren dan Chong Wei Feng (pemain perseorangan lelaki negara) mampu menggantikan saya, tapi mereka perlu memberikan prestasi yang terbaik pada tahun ini," katanya kepada pemberita selepas meraih kejuaraan kesepuluh pada Kejohanan Terbuka Siri Super Malaysia 2014 di Stadium Putra Bukit Jalil, hari ini.

Bagaimanapun menurut Chong Wei, jika prestasi beliau masih berada dalam tahap memuaskan, beliau kemungkinan akan memikirkan semula hasrat tersebut.

"Selepas Sukan Asia di Incheon (19 September–4 Oktober) dan Sukan Komanwel di Scotland (23 Julai-3 Ogos) saya masih tidak tahu sama ada mahu meneruskan karier dalam badminton, kalau kondisi saya tidak baik mungkin saya mahu bersara pada Disember.

"Sekiranya prestasi bagus dan 'bebas daripada kecederaan', mungkin saya akan terus bermain lagi, jika tidak, saya mahu bersara dalam karier badminton tahun ini," katanya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular Posts