Ciptaan saintis Islam

oleh Suliati Asri

Tayangan filem pendek mengenai perjalanan kanak-kanak sekolah meneroka era sejarah yang disalah anggap sebagai Zaman Kegelapan dilakonkan pemenang anugerah Oscar, Sir Ben Kingsley sememang­nya cukup me­ngujakan.

Filem pendek yang bertujuan memberikan lebih kefahaman dan penghargaan apabila mula meneroka pameran utama ini turut membuatkan pe­ngunjung teruja dan tidak sabar untuk melihat sendiri kecanggihan ciptaan Tamadun Muslim yang cukup membanggakan itu.

1001 Inventions memaparkan pelbagai pameran, permainan berteknologi tinggi, paparan interaktif dan penceritaan yang menghidupkan kembali peranan bersejarah tokoh dari era Tamadun Muslim, sekali gus bertindak sebagai satu inspirasi kepada golongan muda moden Malaysia untuk meneruskan kerjaya dalam bidang sains dan teknologi.

Dari abad ketujuh ke atas, lelaki dan wanita daripada pelbagai agama dan latar belakang etnik bekerja bersama, daripada pe­ngetahuan tamadun purba, untuk membina kemajuan yang menakjubkan dalam bidang perubatan, kejuruteraan, astronomi, pertanian, geologi, matematik, muzik dan seni bina.


Pengarah Operasi Science Discoveries Sdn Bhd, David Oh Seong Keat berkata, Malaysia adalah negara pertama di rantau Asia Pasifik yang mengadakan pameran diiktiraf sebagai ‘The World’s Best Touring Exhibition’ menerusi Anugerah Kecemerlangan Warisan dan Muzium 2011 yang mendapat sambutan menggalakkan di London, New York, Doha, Istanbul dan beberapa bandar besar lain.


“Bagi menarik perhatian pengunjung terutama golongan muda, pameran menyediakan 60 bahan berbentuk interaktif, video, panel maklumat dan replika artifak di lima zon utama iaitu alam semesta, hospital, kejuruteraan, sekolah dan dunia.

“Meskipun saiz pameran tidak terlalu besar, dekorasi tersusun lengkap dengan replika, video dan maklumat berjaya membuatkan pe­ngunjung ‘berhenti’ untuk menyaksikannya lebih dekat,” katanya.

Pameran bertaraf antarabangsa mengumpulkan lebih 60 replika peralatan ciptaan sains Islam ini terbahagi kepada lima zon interaktif yang dihasilkan semula daripada beberapa ciptaan zaman kegemila­ngan Islam termasuk bidang perubatan, kejuruteraan, astronomi, geologi, matematik dan seni bina.

Memulakan penerokaan di ruang pameran, pe­ngunjung pastinya terpaku melihat peralatan pembedahan yang dihasilkan pakar bedah Muslim, al-Zahrawi antaranya pisau bedah, pe­ngikis, gerudi, gergaji dan forsep pada abad ke-10.

Al-Zahrawi yang juga dikenali masyarakat Barat sebagai Albucasis berjaya memperkenalkan lebih 200 alat pembedahan bagi merawat penyakit tulang, ketumbuhan, batu karang, luka serta proses kelahiran.

Lebih menarik, al-Zahrawi adalah individu pertama menggunakan tali tangsi secara sistematik dalam pembedahan yang kini menjadi amalan pakar bedah dunia untuk menjahit hirisan dalaman tubuh.

Beralih ke bidang astronomi, Merriam al-Ijliya adalah Muslimah hebat yang berjaya mencipta sejarah apabila menghasilkan alat kaji bintang di Aleppo, Syria.

Di zon kejuruteraan, pendedahan menarik mengenai penghasilan jam, kamera dan penyaman udara sememangnya cukup mengujakan.

Mana tidaknya, penyaman udara yang menjadi salah satu alatan moden itu sebenarnya sudah lama tercipta.

Al-Jazari terkenal dengan jam gajah yang direka hasil gabungan elemen tradisi dunia termasuk India (digambarkan melalui gajah), China (naga), Mesir (burung merak) dan Arab (patung berpakaian) yang diterjemahkan ke dalam bentuk teks iaitu ‘Book of Knowledge of Ingenious Mechanical Devices’ pada 1206.

Jam gajah ini antara bahan pameran yang menjadi tumpuan pengunjung kerana ciptaannya yang cukup unik.

Selain itu, cendekiawan Muslim ini bertanggung­jawab membina peranti berkuasa air serta sistem engkol dan rod penyambung yang menjadi elemen penting kepada pam dan enjin.

Dunia pendidikan merang­kumi sains dan matematik turut diterokai cendekiawan lain, misalnya kimia oleh Jabir ibn Hayyan, al-Razi dan al-Kindi pada abad ke-9, trigonometri (al-Khwarizmi, al-Battani dan al-Biruni, abad ke-9 hingga 11) dan algebra (al-Khwarizmi dan al-Karaji, abad ke-9).

Sumbangan besar dalam bidang pendidikan turut dilakukan Fatima al-Fihri apabila membelanjakan kekayaan bapanya untuk membina masjid dan kompleks perguruan, al-Qarawiyin di Fez, Maghribi, sekali gus menjadi universiti tertua dunia pada 859.

Selain bahan pameran, slot permainan juga ditambah pada pameran ini untuk memberikan keseronokan kepada pengunjung terutama pelajar sekolah meneroka dan memperoleh ilmu tambahan.

Pengunjung, Medya Putri, 43, berkata, secara keseluruhannya, pameran itu cukup mengujakan walaupun ia membabitkan sejarah.

“Daripada tayangan video hingga kepada bahan pameran yang ada, ia benar-benar memberi ilmu yang cukup berguna dan bermakna buat semua pengunjung.

“Secara tidak langsung, berkunjung ke pameran ini memberi pendedahan yang sangat baik kerana dapat mengetahui asal usul kemodenan teknologi yang kini digunakan di seluruh dunia,” katanya.

Pameran yang berlangsung di Pusat Sains Negara sehingga bulan depan itu dibuka setiap hari dari jam 9 pagi hingga 5 petang.

Bayaran dikenakan adalah RM20 untuk dewasa, RM15 untuk kanak-kanak/pelajar (tujuh hingga 17 tahun ke atas dengan ID pelajar) dan warga emas serta RM6 untuk prasekolah (empat hingga enam tahun).

Harga pakej untuk keluarga adalah RM60 (2 dewasa + 2 kanak-kanak). Pakej berkumpulan juga disediakan. Untuk maklumat lanjut, layari www.1001inventions.com.my.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular Posts