1001 cerita boleh dibayangkan  
Mohd Fitri (kanan) juga mengambil gambar ibu mengandung untuk menjadi kenangan.


GEORGETOWN - Bidang fotografi perkahwinan pada masa kini semakin mendapat perhatian jurugambar berikutan boleh menjana pendapatan lumayan.

Namun dalam keseronokan memilih jurugambar terbaik, pasangan pengantin dinasihatkan supaya lebih bijak memilih pakej yang diberikan.

Jurugambar, Mohd Fitri Alwi, 27, berkata, jika ditanya kepada semua jurugambar perkahwinan sudah pasti mereka menawarkan pakej paling menarik atau dalam kata lainnya bermaksud lebih mahal.

“Pengantin kena pandai mengikut keadaan dan kesesuaian, semua jurugambar ada pakej dan harga masing-masing.

“Harga yang dikenakan adalah berpatutan mengikut kos dan juga tenaga yang digunakan dan gambar yang diambil oleh kami juga di ‘edit’ dengan mood, kerana mahu memberikan hasil yang cantik,” katanya.

Dia juga turut merakamkan detik manis ibu mengandung.

Terangnya sebelum ini, dia sendiri banyak mendengar kisah pengantin ditipu jurugambar perkahwinan.

“Antara tip mudah ialah selidik latar belakang jurugambar berkenaan dan sekiranya dia ada laman sosial, lihat dan kaji gambarnya dahulu.

“Jika biasa sahaja lebih baik anda gunakan khidmat adik beradik menggunakan kamera biasa untuk merakam detik manis anda. Sanggupkah anda bayar ribuan ringgit namun hasilnya amat menyedihkan,” katanya.

Sementara itu bagi Syareil Hafiz Samsudin, ada di antara individu yang mengatakan kamera biasa juga mampu merakam gambar perkahwinan tanpa menggunakan kamera canggih.

“Apapun bagi saya mengupah jurugambar perkahwinan semestinya keperluan buat pengantin masa kini, kerana harga yang dibayar mampu dikenang sepanjang hayat,” katanya.

Dia yang turut mempunyai studio gambar perkahwinan berkata, trend jurugambar perkahwinan sudah berlaku sejak puluhan tahun dahulu, namun tidak dijadikan sebagai kerjaya profesional.

“Kini di Malaysia kita punya ramai jurugambar perkahwinan yang profesional dan berbakat, jadi pemilihan jurugambar untuk majlis perkahwinan ibarat sudah menjadi satu kemestian.

“Ketiadaan jurugambar ketika majlis perkahwinan juga ibarat satu kerugian kerana kenangan suka duka sepanjang majlis hanya akan dikenang dalam tempoh masa seminggu atau paling lama 30 hari sahaja,” katanya.
Terangnya lagi, harga mahal yang dikenakan untuk setiap majlis perkahwinan adalah mengikut keprofesionalan seseorang.
“Hanya melalui sekeping gambar, 1001 cerita boleh dibayangkan,” katanya.