Kad debit bantu urus kewangan

KAD Debit Visa BSN ini merupakan kad debit pertama di Malaysia menggunakan teknologi tanpa sentuh payWave.

DUA kad kredit kepunyaan Aida Suraya Daud menjadi teman akrab tatkala berbelanja. Apatah lagi saat membeli-belah, barangan pujaan seperti pakaian berjenama dan aksesori mewah dapat dimiliki dengan mudah.

Keasyikan menggunakan instrumen pengganti tunai itu bagaimanapun tidak berpanjangan. Ekoran kegagalan melunaskan pembayaran semula bil-bil kredit untuk tempoh beberapa bulan, Aida Suraya, 27, terpaksa melayan panggilan 'pengutip hutang' hampir saban hari.

Paling menakutkan apabila pemungut pembayaran bertindak mahu mengeluarkan surat amaran. Detik itu, segenap keterujaan berbelanja lenyap dimamah kesal. Mengenangkan beban hutang bersama amaun bunga yang perlu dilunaskan, Aida Suraya mula tawar hati dengan khidmat kad kredit.

"Pada asalnya saya guna kad kredit untuk memudahkan urusan harian sepanjang belajar di luar negara. Namun lepas kembali ke Malaysia dan bekerja, baru saya rasai keperitan akibat menangguh bayaran kredit.

"Waktu berbelanja, memang niat hendak bayar bil kad kredit selepas gaji masuk. Tetapi akibat suka bertangguh, jumlah hutang bertambah dan bila diberi surat amaran, saya jadi tertekan," imbas Aida Suraya yang pernah membeli sebuah beg tangan bernilai RM5,000 menggunakan kad kredit.

Tidak sedar kewujudan bunga akibat pembayaran lewat, penulis bagi sebuah laman portal itu lantas menamatkan khidmat salah satu kad kreditnya. Dia juga memberitahu akan menghentikan penggunaan kad kredit keduanya kerana enggan hidup dikelilingi hutang.

Kad debit menjadi pengganti kad kredit yang efektif kepada Aida Suraya. Malah sejak menggunakan alternatif fungsional itu lima tahun lalu, Aida Suraya mula menyedari kelebihannya sebagai pencegah amalan berhutang.

Ujarnya, kad debit membolehkan pengguna menetapkan had penggunaan dan hanya boleh dipakai mengikut baki wang dalam akaun simpanan. Dengan cara ini, Aida Suraya dapat mengawal perbelanjaan dan mudah menjejak rekod keluar masuk wang di dalam akaunnya.

Begitupun, tambah Aida Suraya, sama ada kad kredit atau debit, kedua-duanya adalah instrumen yang memudahkan urusan individu jika diguna secara bijak.

"Paling penting, bila kita dapat duit, selesaikan hutang wajib dulu seperti pembiayaan kereta, sewa rumah dan pelbagai bil. Bahagikan wang bulanan kepada tiga iaitu untuk membayar hutang, belanja dan simpanan," saran Aida Suraya.

Rancang perbelanjaan

Sementara itu, pada usia 18 tahun, Megat Amir Danish Amir Noor Rashid telah melatih diri menggunakan kad debit. Sebagai seorang anak muda yang kerap berbelanja membeli pakaian, Megat cuba menegah diri daripada berhutang jika dia tidak mempunyai wang lebih bagi memenuhi kehendak peribadinya.

"Kalau tak ada duit dalam akaun, tak payah beli," begitu prinsip pegangan remaja yang digelar selebriti laman sosial Twitter itu yang kini mempunyai pengikut mencecah 74,000 orang.

Penuntut Diploma Komunikasi Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Lendu, Melaka itu juga beranggapan, kad debit memudahkan dia merancang perbelanjaan harian dan mengelak perbelanjaan tidak penting.

Berdasarkan kaji selidik yang dijalankan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) dan Pusat Penyelidikan dan Sumber Pengguna (CRRC) mendapati sebanyak 47 peratus belia Malaysia berumur antara 18 hingga 35 tahun di bandar berdepan masalah hutang serius.

Situasi tersebut terjadi apabila nilai pembayaran hutang individu mencecah atau melebihi 30 peratus daripada pendapatan kasar. Kelompok berusia 24 hingga 29 tahun dengan tangga gaji antara RM2,000 hingga RM3,000 pula mengalami krisis hutang kritikal akibat beban pembiayaan meliputi kenderaan, rumah, insurans dan tanggungjawab keluarga.

Artikel Penuh: http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0113&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz2qV7Qxv9A
Hakcipta terpelihara

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular Posts