Kolam air Panas Ulu Legong - Air panas penyegar tubuh


Oleh Sabaruddin Abd Ghani

Berendam di dalam air panas semula jadi atau hanya sekadar merendam kaki dengan suasana kedamaian dikelilingi bukit bukau cukup menyenangkan.

Badan yang lenguh dek kerja yang banyak di pejabat atau mungkin memandu lama terasa begitu nyaman.

Itulah yang dirasai pe­ngunjung ketika mengunjungi pusat rekreasi air panas yang beroperasi 24 jam.

Dibuka sejak 2008, Pusat Rekreasi Kolam air Panas Ulu Legong (PRKAPUL) di Baling, Kedah yang menjadi tumpuan kini mampu menampung kehadiran lebih ramai pengunjung apabila penambahan tiga kolam baru di kawasan untuk keselesaan orang ramai.

Foto
Foto
Foto
KOLAM air panas di pusat rekreasi terbabit hidup pada waktu malam.

Kolam baru yang dibuka sejak Julai lalu mampu menyediakan pelbagai kemudahan dan infrastruktur bagi kemudahan pengunjung dari merata tempat termasuk pengunjung tempatan.

Terletak kira-kira 100 meter dari empat kolam sedia ada termasuk sebuah kolam utama yang kandungan airnya sangat panas dengan pembinaan membabitkan kos kira-kira RM5 juta.

Ia usaha Majlis Daerah Baling (MDB) ke arah mempertingkatkan industri pelancongan di daerah itu.

Ketua Bahagian Pembangunan Pelancongan dan Rekreasi MDB Afif Shaari berkata, peruntukan itu digunakan bagi projek kolam tambahan secara keseluruhan selain membina 12 unit chalet, gerai cenderahati, pejabat baru, kaunter bayaran, bilik spa dan tempat letak kereta secara percuma.

Beliau berkata, pembinaan kolam tambahan menerusi peruntukan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan itu dibuat bagi mengatasi masalah kawasan kolam utama tidak mampu menampung peningkatan pengunjung terutama cuti sekolah dan cuti umum.

"Pusat percutian santai itu terletak di persekitaran hening di kawasan kampung menjadi antara sebab ia digemari pelancong untuk menikmati nikmat rekreasi bersama keluarga.

"Air di dalam kolam baru dibina itu tidak berapa panas dan kita turut menyediakan kolam khas untuk kanak-kanak sedalam paras lutut," katanya.

Menurutnya, reka bentuk bangunan pintu masuk yang menyelitkan ciri-ciri binaan terkini selain land­skap kawasan kolam bermotifkan santai dan rekreasi.

Ini bagi memastikan suasana persekitaran kelihatan ceria, damai dan tenang pada waktu malam.

"Bagi pengunjung yang ingin bermalam, sebanyak 26 unit chalet sedia menunggu dengan bayaran mengikut jenis penginapan iaitu antara RM100 hingga RM300 semalam.

"Manakala mereka yang ingin lebih santai, tapak perkhemahan disediakan dengan bayaran sewa cuma RM5," katanya.

Seorang pengunjung dari Butterworth, Pulau Pinang, Hazani Yon, 28, berkata kawasan kolam tambahan itu lebih luas serta lapang membuatkan pengunjung lebih tenteram sambil berendam dalam kolam yang airnya tidak berapa panas.

"Setahu saya, pusat rekreasi kolam air panas ini adalah satu-satunya destinasi pelancongan mandian air panas di kawasan Utara.

"Justeru, MDB perlu mengekal dan memperting­katkan kemudahan infrastruktur dan layanan petugas mereka.

"Cuma kehadiran pelancong asing agak kurang dan MDB perlu menyusun perancangan serta strategi tertentu seperti memperluaskan promosi di media cetak dan elekronik atau risalah dalam bahasa Inggeris," katanya.

Sementara itu, seorang peniaga gerai minuman, Ramli Jusoh, 48, berkata pembinaan tambahan kolam air panas terbabit yang beroperasi 24 jam membuka pintu rezekinya.

"Pada masa tertentu, terutama musim cuti persekolahan, musim perayaan atau cuti umum, saya mampu memperoleh pendapatan agak lumayan," katanya.

Bayaran masuk adalah RM6 bagi orang dewasa, kanak-kanak (RM3), manakala pesara kerajaan, orang kelainan upaya (OKU) dan warga emas (RM4).

Bagaimanapun, bagi bukan warganegara Malaysia, bayaran masuk untuk orang dewasa ialah RM10 dan kanak-kanak (RM6).

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular Posts