Mangsa nahas pesawat ringan Cesna cerita pengalaman terhempas..

Syed Haidhar cerita detik cemas sebelum diselamatkan

KUALA LUMPUR 11 Jan. - "Kami hanya mampu terbaring di bawah pokok dalam keadaan gelap gelita. Mahu hidupkan unggun api pun kami tidak larat kerana terlalu penat setelah melalui detik yang hampir meragut nyawa kami."

Itu kata salah seorang mangsa nahas pesawat ringan Cessna 172 yang terhempas di hutan berhampiran kawasan Empangan Batu, Ulu Yam, Kapten Syed Haidhar Syed Zulkifli, 24, ketika ditemui pemberita di Hospital Selayang di sini hari ini.

Menurut Syed Haidhar, sebelum kejadian mereka bertiga berlepas dari Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Sungai Besi di sini, kira-kira pukul 4.30 petang dan 45 minit kemudian pesawat mereka terhempas ketika cuba mengelak seekor burung helang jenis Winston.

"Kami kena mengelak daripada melanggar burung helang itu kerana bimbang kejadian lebih teruk berlaku memandangkan tulang burung helang itu mampu mematahkan kipas pesawat.

"Selepas terhempas, kami cuba keluar daripada pesawat sekitar pukul 6 petang kerana bimbang berlakunya kejadian yang tidak diingini sebelum cuba mencari jalan keluar dari hutan.

"Tetapi suasana gelap dan kami terpaksa mengambil keputusan untuk menangguhkan tindakan itu kerana apa yang kami ada hanyalah bekalan cahaya daripada telefon bimbit," katanya.

Dalam kejadian itu, Syed Haidhar bersama dua lagi juruterbang iaitu Kapten Saiful Farid Amri Amrizal, 41, dan Shaiful Zafiq Razali, 23, dari Kelab Penerbangan Diraja Selangor sedang menjalani latihan penerbangan sebelum terhempas berdekatan Empangan Batu, dekat Ulu Yam.

Mereka dikatakan terperangkap di dalam kawasan hutan itu hampir 10 jam sebelum ditemui pasukan penyelamat dan penduduk kampung.

Cerita Syed Haidhar, mereka tidak mampu berjalan jauh selepas pesawat itu terhempas kerana masing-masing kesakitan dan mengalami kecederaan akibat nahas.

"Kami sekadar berteduh di bawah pokok yang berbentuk kanopi kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian kerana bimbang pesawat itu akan meletup ekoran kesemua mereka terlupa menutup setiap suis yang ada," tambahnya.

Katanya, mereka bertiga juga hanya mampu berdoa agar segera diselamatkan dan berasa lega apabila mendengar bunyi salakan anjing pengesan ketika jam menghampiri pukul 3 pagi.

"Kami menyahut panggilan pasukan penyelamat dan memberi isyarat menggunakan lampu telefon bimbit. Mujur mereka nampak dan datang memberi pertolongan," katanya.

Ekoran peristiwa itu, Syed Haidhar memberitahu, dia mungkin berehat seketika daripada sebarang aktiviti penerbangan kerana masih trauma dan tidak dapat melupakan kejadian itu.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular Posts