Muslimah sejati

"SUDAH ramai wanita sekarang mengenakan hijab. Kelihatan semuanya cantik dan sopan santun.
"Namun, ada sesetengahnya bergaya seakan-akan tidak kena dengan penampilan diri. Ada juga yang tidak mengikut tuntutan agama Islam sehinggakan gaya mereka menjadi buah mulut ramai orang.

"Disebabkan hal ini, saya dan rakan sepakat menubuhkan persatuan semata-mata ingin membantu mereka yang berhijab atau yang baru berhijab untuk bergaya mengikut konteks sebenar tanpa melanggar syariat Islam ketika berfesyen," kata Zaidatul Afiza Mohd.  

Beliau sebagai pengerusi persatuan berkata, penubuhan Komuniti Hijab Malaysia atau dalam bahasa Inggerisnya, Hijab Community Malaysia (HCM) bukan hanya mahukan kaum Muslimah bergaya mengikut Islam tetapi juga
berusaha mengeratkan silaturahim dan suai kenal Muslimah dari serata negeri.

HCM ditubuhkan pada awal 2012 dan hanya dianggotai 15 ahli. Pada 14 Jun 2012, keahlian mencecah 20 orang yang terdiri daripada pelbagai golongan wanita, peringkat umur dan kerjaya. Kini, jumlah ahli makin meningkat, hampir 40 ahli berdaftar manakala lebih 1000 ahli dalam Facebook.

Tambahnya, HCM pada awalnya berhadapan kesukaran untuk dijadikan sebuah persatuan, namun dek usaha gigih semua pihak, semuanya berjalan lancar.

Peluang menjadi model

"HCM mula mendapat perhatian ramai Muslimah sejak ia dijadikan sebuah group page di Facebook. Selepas itu, ia berkembang pada Twitter dan lebarkan maklumat di dalam blog HCM.
"Oleh kerana makin diterima, lahirlah idea untuk jadikan HCM sebagai badan NGO yang boleh menjalankan pelbagai aktiviti secara formal untuk ke semua ahlinya," ujar Zaidatul Afiza.
Sepanjang dua tahun penubuhan HCM ini, visi persatuan adalah mahu menjadi sebuah persatuan Muslimah yang menghargai dan memahami keindahan dunia Muslimah mengikut syariat Islam dari semua aspek terutamanya fesyen dan juga bidang lain.
Serta membentuk jati diri sebagai Muslimah yang mementingkan hubungan sesama manusia, kemasyarakatan dan kemanusiaan cemerlang pilihan generasi baru yang berteraskan Islam.

"Aktiviti dijalankan berkait rapat dengan wanita iaitu kecantikan, fesyen Muslimah dan kesihatan.

"Disebabkan ramai ahli terdiri daripada model sambilan, jadi pertunjukan fesyen Muslimah dan photoshoot menjadi antara aktiviti utama HCM ini.

"Dengan menyertai HCM, mereka berpeluang untuk memperagakan busana dari butik untuk setiap majlis yang akan dijalankan. Ini secara langsung membuka peluang bagi mereka menjadi model Muslimah yang kian
berkembang pesat di dunia fesyen Muslimah sekarang," katanya.

Tambahkan aktiviti

HCM pernah mengadakan beberapa bengkel dan kelas seperti bengkel peragaan Muslimah bertujuan memberi pendedahan kepada mereka mengenai adab yang sesuai apabila memperagakan sesuatu produk; kelas pemakaian selendang; kelas solekan dan apa saja yang berkaitan dengan fesyen Muslimah.
HCM juga bakal mengadakan pra pelancaran HCM akan datang dan pelancaran besar-besarannya pada Jun ini.       Zaidatul Afiza berkata, beberapa siri kelas agama turut dianjurkan dan kini dalam perancangan melawat rumah kebajikan, wujud kelas masakan dan kelas membuat coklat.
Dalam pada itu, HCM juga seringkali menguruskan beberapa program besar yang telah melakar kejayaan tersendiri, antaranya Festival Hijab  2012.
HCM juga bertanggungjawab menguruskan pertunjukan fesyen bermula dari pengacaraan majlis, butik, model, make up artis dan lain-lain.
Turut serta, menguruskan pertunjukan fesyen untuk butik-butik Muslimah di Malaysia.

Berkongsi harapan HCM, Zaidatul Afiza berkata, beliau mahu menjadikan HCM sasaran utama golongan Muslimah untuk berkongsi pendapat, mencari peluang dalam bidang masing- masing dan memudahkan peralihan ke taraf umum tanpa mengira kedudukan pangkat dan status.
 
INFO
- HCM bermula dengan penubuhan group page di Facebook.
- Kemudiannya beralih ke Twitter dan blog HCM.
- Mula menjadi sebuah persatuan berdaftar pada awal 2012.
- Keahlian sudah cecah 40 orang dan melebihi 1000 dalam Facebook.

- Pelbagai aktiviti diadakan seperti kelas solekan, kelas tatarias, kelas pemakaian selendang dan banyak lagi.
- Sasaran keahlian kalangan wanita berhijab dan yang berumur 18 tahun ke atas.
- Mereka yang berminat untuk menjadi ahli, boleh emelkan penyertaan ke hijabcomunitymalaysia@yahoo.com atau layari Facebook Hijab Community Malaysia.
- Makna logo HCM - Warna kuning lambang ceria kerana ahli HCM sentiasa ceria, hindari stress dan sentiasa positif. Warna Ungu lambang kekuatan HCM.
- Semoga HCM akan sentiasa memperoleh kejayaan dan kebahagiaan untuk setiap aktiviti dijalankan.