Najwa Latif maafkan penyebar fitnah

Oleh KHAIRUL AMRI HASSAN
amri.hassan@kosmo.com.my

KES Twitter Najwa Latif yang digodam individu tidak dikenali kini masih menjadi kes polis.

KONSERT Ambang 2014 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 31 Disember lalu bukan sahaja menjejaskan perjalanan acara tetapi tempiasnya turut dirasai oleh salah seorang penyanyi yang membuat persembahan pada malam itu, Najwa Latif.

Selepas mengadakan persembahan, heboh kononnya penyanyi itu telah mengemas kini status di laman sosial Twitter miliknya menyatakan yang dia telah diraba ketika suasana hiruk-pikuk di lokasi berkenaan.

Najwa telah membuat kenyataan media sebelum ini bahawa akaun Twitter miliknya telah digodam dan menafikan telah memuat naik status berkenaan.

Sejurus kejadian itu, Najwa telah membuat laporan di Balai Polis Shah Alam dan masih menantikan hasil siasatan pihak berkuasa.

Ikuti temu bual bersama penyanyi lagu Kosong itu yang ditemui pada Konsert Pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2014 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kosmo!: Apakah situasi sebenar yang berlaku pada malam 31 Disember lalu sehingga mengaitkan nama Najwa sebagai salah seorang mangsa demonstrasi haram itu?

NAJWA LATIF: Malam itu (31 Disember) saya membuat persembahan sebanyak tiga buah lagu iaitu I Love You, Sahabat dan Adamu untuk dua slot (pukul 10.40 malam dan 11.10 malam).

Keadaan masih terkawal dan tenang selepas selesai membuat persembahan.

Namun, apabila keadaan menjadi semakin huru-hara pada pukul 11.30 malam, saya bersama pengurus dan kakak saya mengambil keputusan untuk pulang.

Jadi, menjelang pukul 11.40 malam kami semua sudah keluar dari Dataran Merdeka. Maka, memang tiada sebarang kejadian yang tidak diingini menimpa saya dan dakwaan saya diraba tidak betul sama sekali.

Bagaimanakah boleh timbul cerita Najwa kena raba?

Saya tidak pasti, saya tidak tahu apa-apa sebab dalam perjalanan pulang. Apabila sampai di rumah, kawan saya memberitahu melalui WhatsApp bahawa ada sesuatu berlaku dalam Twitter saya.

Selepas menyemak semula ada peminat screen capture Twitter saya menyatakan saya telah diraba.

Apakah intipati yang ditulis di Twitter berkenaan?

Seingat saya, tulisan itu menjurus terhadap kekesalan saya berkenaan acara sambutan Tahun Baru dan saya berdepan insiden memalukan.

Saya boleh cakap perkara itu tidak benar sebab selepas pukul 11.30 malam saya tidak berada di tempat kejadian.

Perkara selepas itu tiada kena-mengena dengan saya. Ada individu telah mengolah semula tulisan saya di Twitter sebelum ini dan mereka ayat baharu.

Adakah Najwa mengesyaki sesiapa yang menjadi dalangnya?

Saya perasan perkara itu pukul 1 pagi. Saya tidak tahu siapa yang mulakan. Saya tidak mengesyaki sesiapa.

Selepas individu berkenaan Tweet perkara itu, screen capture kemudiannya dia padamkan. Saya maafkan dia dan harap tidak mengulangi perbuatan itu.

Apakah pengajaran yang diperoleh daripada insiden berkenaan?

Saya sudah buat laporan polis pada 3 Januari lalu di Balai Polis Shah Alam dan ia masih dalam siasatan.

Pengajarannya, saya harus berhati-hati dan ada saksi bersama saya ketika kejadian.

Tuhan tahu apa yang terjadi dan itu sudah cukup untuk saya, terpulanglah apa orang mahu cakap pun.

Adakah kejadian itu menjejaskan karier atau peribadi Najwa?

Saya percaya rezeki datang daripada Tuhan. Tidak mengapa kalau tiada rezeki dan saya percaya apa yang terjadi kuasa Allah. Kalau hari ini kita buat orang, nanti orang buat kita balik.

Adakah Najwa serik untuk mengadakan persembahan di pentas terbuka selepas ini?

Saya percaya apa yang terjadi ada hikmahnya dan saya banyak belajar. Saya ambil perkara yang berlaku sebagai satu pengalaman dan akan lebih berhati-hati. Saya tak serik dan akan tetap membuat persembahan di konsert terbuka.

Apakah perkembangan terkini Najwa?

Sekarang semester kedua saya dan sedang sibuk dengan kuliah. Selain itu, pada hujung bulan ini saya akan keluar dengan single terbaharu berjudul Hilang.

Rakaman untuk album terbaharu saya sedang berjalan lancar dan insya-Allah akan dilancarkan pada penghujung tahun ini.

Artikel Penuh: http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0109&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_04.htm#ixzz2psxZMuIP
Hakcipta terpelihara

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular Posts