Trend jenayah yang berlaku di kawasan kampung

Oleh NOOR SYAHIDATOOL AQMA MOHD. NOOR

EMPAT ekor lembu disumbat di dalam sebuah kereta Proton Wira dalam kejadian di Kampung Siam, Kulim, Kedah, Isnin lalu.

ISNIN lalu, akhbar melaporkan dua lelaki berputih mata selepas empat ekor lembu curi terpaksa ditinggalkan di dalam kereta Proton Wira selepas kenderaan yang mereka naiki bersama haiwan itu mengalami kerosakan di Kampung Siam, Kulim, Kedah.

Kesemua lembu itu ditemui semula kira-kira 15 kilometer dari lokasi kandang ternakan haiwan itu dicuri di Sungai Lembu, Bukit Mertajam.

Tindakan itu disedari oleh penternak di Sungai Lembu selepas mendapati empat ekor haiwan ternakannya hilang pada pukul 5 pagi sebelum dia membuat laporan polis dan meminta bantuan rakan-rakannya supaya melancarkan gerakan mencari.

Rakan-rakan mangsa yang keluar mencari lembu tersebut kemudian berjaya mengesan kereta Proton Wira tersebut berdekatan Plaza Tol Lebuh Raya Kulim-Butterworth (BKE) tidak lama selepas itu.

Menyedari diekori, dua suspek berusia 20-an terus memecut laju kenderaan itu memasuki jalan mini tar di Kampung Siam sebelum kenderaan yang memuatkan empat ekor lembu itu mengalami kerosakan.

Dua suspek itu kemudian meninggalkan kereta dan lembu-lembu yang dicuri itu di tepi jalan dan pemeriksaan pada kereta tersebut menemui empat ekor lembu itu disumbat di bahagian but dan tempat duduk penumpang belakang yang telah dibuang.

Lembu-lembu tersebut dipercayai disuntik dengan ubat pelali sehingga pengsan sebelum haiwan itu ditemui masih berada di dalam kereta tersebut.

Polis percaya dua suspek itu pernah melakukan kegiatan sama berdasarkan kepakaran mereka mencuri dan melarikan keempat-empat ekor lembu tersebut kerana pada kebiasaannya, hanya dua ekor lembu sahaja boleh dimuatkan di dalam sebuah kereta, tetapi dalam kes itu, suspek bertindak menyumbat empat ekor lembu sekali gus.

Curi pisang

Dalam kes berasingan pada Selasa lalu, seorang lelaki berumur 30 tahun patah tulang rusuk selepas dipercayai dibelasah sekumpulan penduduk di Kampung Lepah, Pasir Puteh, Kelantan.

Lelaki itu dikesan penduduk di kawasan kebun tersebut kira-kira pukul 1.30 pagi bersama sebuah motosikal dan ketika disoal kira-kira 20 penduduk, lelaki itu memaklumkan yang kenderaannya kehabisan minyak.

Tetapi helahnya terbongkar apabila dia tiba-tiba menghidupkan enjin motosikal dan melarikan diri sebaik sahaja penduduk beredar.

Lima minit kemudian dia ditangkap oleh penduduk yang sedang membuat rondaan, kira-kira 100 meter dari kebun itu.

Lelaki terbabit cedera pada mata kiri dan kanan, bawah bibir, belakang badan, lutut kiri, kepala dan patah tulang rusuk selepas mengaku mencantas beberapa tandan pisang dalam kebun berdekatan tetapi tidak sempat membawa lari.

Mudah dijual

Sementara itu, penganalisis jenayah, Kamal Affendi Hashim memberitahu, haiwan ternakan dan hasil tanaman menjadi sasaran pencuri kerana ia mudah dijual berdasarkan permintaan pasaran.

“Sebelum ini, perkara sama terjadi tetapi pencuri menggunakan van atau lori untuk memudahkan jenayah mereka tetapi berbeza pula kes kali ini apabila mereka bertindak menggunakan kenderaan persendirian untuk melakukan jenayah.

“Mereka akan menggunakan apa juga kaedah untuk melarikan diri,” jelasnya ketika diminta mengulas mengenai tindakan mencuri lembu milik penduduk menggunakan sebuah kereta Proton Wira.

Tambahnya, apa yang dibimbangkan ialah sekiranya individu yang melakukan jenayah itu juga menjadi penjual hasil ternakan dan tanaman yang dicuri.

“Jika perkara ini berlaku, kita pasti tidak dapat mengesan barangan yang dijual itu diperoleh dari mana.

“Oleh sebab itu, pihak berwajib perlu melakukan pemeriksaan rambang bagi mengesan sumber mereka mendapatkan barangan yang dijual,” katanya sambil memberitahu pencuri akan mengambil kesempatan apabila mempunyai peluang untuk jenayah itu berlaku.

Ujarnya, masyarakat juga perlu memainkan peranan penting dengan melaporkan sebarang aktiviti jual beli yang dicurigai kepada pihak berkuasa.

“Sekiranya masyarakat mendapati terdapat mana-mana pihak yang menjual hasil ternakan dan tanaman secara tiba-tiba, ia merupakan sesuatu yang patut dilaporkan kerana kita tidak mahu mereka membantu menggalakkan lagi jenayah,” beritahu beliau.

Artikel Penuh: http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0112&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm#ixzz2qV6lZbSz
Hakcipta terpelihara

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular Posts