Ukhuwah biar ikhlas, tiada muslihat

Nik Salida Suhaila

Membina silaturahim bukan sekadar mengucap salam kepada sesiapa yang ditemui dan tidak semudah berkirim salam melalui teman. Kemanisan ukhuwah hanya dapat dirasai mereka yang ikhlas melengkapkan kehidupan sesama manusia setelah menyempurnakan tanggungjawab kepada Allah SWT.

Tidak salah membina ukhuwah dengan sesiapa saja untuk memperteguhkan hubungan dengan Yang Maha Mencipta. Pilihlah sahabat yang mengingatkan kita sewaktu lupa, menjauhkan daripada leka serta mengikat kita kuat pada tali-Nya, kerana itulah sebenarnya hikmah bersaudara.

Hari ini, jalinan ukhuwah menjadi semakin mudah dengan adanya pelbagai medium untuk meneguhkan ikatan silaturahim. Hubungan yang jauh boleh didekatkan dan ini memudahkan kita membina persahabatan. 

Firman Allah SWT; “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah jadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak supaya kamu berkenal-kenalan dan beramah mesra antara satu sama lain. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, bukan yang lebih keturunan atau bangsanya. Sesungguhnya Allah lebih Mengetahui lagi Maha Mendalam pengetahuannya akan keadaan dan amalan kamu.” (Surah al-Hujurat, ayat 13)

Tanpa memerlukan masa yang panjang dan modal banyak, kita boleh bertanya khabar serta tahu perkembangan taulan yang jauh hanya di hujung jari. Malah, hubungan jauh boleh didekatkan dengan kemudahan teknologi yang boleh dimanfaatkan bagi tujuan itu.

Lebih daripada itu, ukhuwah berasaskan takwa dan berlandaskan syariat adalah tunjang kekuatan ummah malah, silaturahim menjauhkan manusia daripada hasad dengki serta fitnah. Ukhuwah juga boleh menguatkan hubungan dengan Allah SWT.

Rasulullah SAW bersabda: “Bahawa seorang Muslim itu menjadi saudara seorang Muslim lainnya, kerana itu tidak dibolehkan seorang Muslim itu menganiaya saudara Muslim yang lainnya. Juga tidak boleh seorang Muslim itu menghina saudara Muslim lainnya. Dan barang siapa memberikan pertolongan yakni memenuhi hajat keperluan saudaranya, maka Allah pun memenuhi dan menyelesaikan segala keperluan hajatnya dan barang siapa yang memberikan kemudahan atau memberikan kelapangan bagi kesusahan seorang Muslim, nescaya Allah melapangkan kesusahannya pada hari kiamat.”

Perintah membina silaturahim bertujuan melancarkan urusan kehidupan kerana manusia tidak boleh hidup sendirian, sebaliknya saling bergantungan dan melengkapkan keperluan masing-masing.
Rasulullah SAW bersabda: “Orang Mukmin terhadap orang Mukmin yang lainnya, tidak ubah bagaikan sebuah bangunan yang bahagian-bahagian menguatkan satu sama lain.”

Oleh kerana ukhuwah melengkapkan keperluan manusia, ia boleh menjadi asas pembinaan sebuah unit masyarakat harmoni. Alangkah indahnya keluarga yang sarat rasa hormat dan kasih sayang, menjadi tunjang perpaduan yang akhirnya menguatkan kesatuan ummah.

Ukhuwah kerana agama tidak mengenal bangsa dan keturunan. Ia juga tidak terbatas kepada hubungan kerabat semata.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah jadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak supaya kamu berkenal-kenalan dan beramah mesra antara satu sama lain. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, bukan yang lebih keturunan atau bangsanya. Sesungguhnya Allah lebih Mengetahui lagi Maha Mendalam pengetahuannya akan keadaan dan amalan kamu.” (Surah al-Hujurat, ayat 13)

Justeru, menjalin hubungan silaturahim haruslah ikhlas kerana Allah SWT. Kita tidak akan merasa cukup dengan nikmat Allah jika sentiasa menyandarkan asbab setiap hubungan persahabatan untuk mendapatkan sesuatu.

Ditakdirkan apa yang diingini itu tidak diperoleh, kita akan berasa marah, menyesal dan berdendam. Sedangkan, jika ia dijalinkan kerana Allah SWT, kita akan sentiasa reda dengan setiap apa yang berlaku.

Ukhuwah yang erat tunjang kekuatan ummah. Ia jugalah yang menguatkan perjuangan Rasulullah SAW di peringkat awal menyebarkan dakwah kepada setiap penduduk Makkah. Kehadiran sahabat yang turut mewakafkan diri kepada Allah SWT dan Rasul-Nya memudahkan urusan dakwah baginda.

Sayang sahabat kepada sahabat yang lain juga tiada taranya. Itulah perbezaan yang nyata dalam persahabatan ikhlas kerana Allah SWT berbanding persahabatan kerana sebab yang lain.

Penulis merupakan Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Sains Islam Malaysi

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular Posts