Ulama, ilmuan perlu tampil bela rakyat

Dr Maszlee Malik 
Dr Maszlee Malik Dr Maszlee Malik

SEJAK berlaku pengurangan subsidi kepada barangan keperluan utama, rakyat terpaksa berdepan dengan pelbagai siri kenaikan harga barangan lain.

Bantahan demi bantahan dibuat namun sehingga kini belum ada sebarang solusi yang disuarakan pihak pembuat dasar untuk mengatasi bebanan hidup rakyat itu selain menyarankan rakyat berjimat.

Ikuti temu bual eksklusif Sinar Harian Online bersama penganalisis politik, Dr Maszlee Malik bagi mengupas isu tersebut dengan lebih lanjut.

SINAR HARIAN ONLINE: Bercakap soal kenaikan harga barang yang berlaku satu demi satu, bagaimana Dr melihat perkara ini?

DR MASZLEE MALIK: Kalau kita lihat pada fenomena harga barang naik seperti yang kita tahu ialah bagi pihak kerajaan menjustifikasikan kenaikan ini dengan penyelarasan subsidi. Seperti kata Datuk Ahmad Zahid Hamidi, kerajaan tak boleh subsidi semata-mata.

Rakyat perlu bersiap untuk negara menjadi sebuah negara maju. Tapi isunya, adakah isu subsidi yang menjadi bebanan atau soal perbelanjaan yang sepatutnya boleh dikurangkan untuk mengekalkan subsidi tapi tidak berlaku.

Kalau kita lihat isu yang ditimbulkan beberapa pihak terutamanya PR, tentang kos penjana tenaga bebas (IPP) yang tinggi sehingga menyebabkan kos bahan tenaga melambung yang antara kesan berantainya ialah kenaikan tarif elektrik, peningkatan kos pengeluaran, harga barang meningkat, jadi, rakyat terpaksa menanggungnya.

Isu di sebalik itu berkaitan kos IPP yang beroperasi sepatutnya mereka menanggung bebanan tapi tidak berlaku, bebanan itu diletakkan pada rakyat. Saya rasa, bagi rakyat pun, realiti harga barang telah naik.

Pepatah kata 'the jinns has come out from the bottle'. Dia dah keluar tak boleh masuk balik. Ataupun 'Pandora's box has been open'. Perkara itu sudah berlaku.

Tapi, yang mungkin rakyat agak sensitif ialah dalam keadaan sebegini, rakyat yang disuruh untuk mengikat perut, mengubah cara hidup dan sebagainya tetapi pada masa sama, kerajaan, pemimpin-pemimpin, menteri-menteri dan sebagainya masih mengamalkan gaya hidup yang mewah, perbelanjaan yang banyak dan juga sambutan-sambutan yang memakan perbelanjaan yang besar. kalau nak ikutkan, nak suruh rakyat ikat perut, ubah gaya hidup dan sebagainya, di pihak kerajaan, menteri-menteri perlu melakukan perkara sama.

Ada lah Perdana Menteri mengumumkan 11 perkara (11 langkah penjimatan perbelanjaan sektor awam) tapi kalau kita lihat perkara pertama itu, hanya satu saja yang melibatkan menteri dan timbalan menteri. Itu pun berkaitan elaun keraian (mengurangkan elaun keraian menteri dan timbalan menteri sebanyak 10 peratus) sedangkan elaun keraian itu milik rakyat.

Kalau nak dipotong itu, gaji atau elaun langsung kegunaan mereka. itu mungkin rakyat akan nampak pengorbanan mereka di situ. Setakat ini yang kita nampak 11 langkah itu lebih berkaitan dengan pegawai-pegawai kerajaan tapi di pihak yang lebih tinggi, tidak berlaku.

SINAR HARIAN ONLINE: Pada himpunan Turun di Dataran Merdeka, boleh dikatakan bahawa majoriti peserta adalah golongan muda. Apa pandangan Dr terhadap penglibatan mereka?

DR MASZLEE MALIK: Ia agak menarik ya kerana melalui dunia media sosial, kita boleh fahami pemikiran dan juga trend dalam kalangan anak muda. Kalau kita lihat, mood mereka ketika turun untuk protes atau suarakan tidak puas hati terhadap kenaikan harga barang yang mendadak dan bertingkat-tingkat ini dalam keadaan... kalau kita lihat dalam Belanjawan, manifesto Pilihan raya digambarkan seolah-olah ekonomi kita pada tahap yang hebat, peringkat yang tinggi tapi realitinya, itu tidak berlaku.

Bagi orang-orang muda yang turun itu mereka risaukan realiti yang berlaku ini menjejaskan kualiti hidup mereka dan masa depan. Apa yang akan berlaku? Kos yang meningkat tapi gaji yang tidak meningkat, ia memberikan suatu kesengsaraan kepada orang-orang muda. Mungkin orang kata, orang muda boleh berusaha lebih dan sebagainya, betul.

Orang boleh bekerja lebih daripada satu pekerjaan untuk mendapatkan pendapatan lebih tapi mereka akan hilang fokus. Apabila hilang fokus, apa nilai kepada profesionalisme yang sepatutnya kita nak lahirkan, biar orang Malaysia yang bekerja ini jadi pakar dan profesional dalam apa yang mereka lakukan.

Jadi, dalam proses Turun ini, anak muda lebih menyuarakan isi hati mereka. kalau mereka tak turut pada himpunan Turun itu kita tahu mereka akan turun untuk konsert tapi kita lihat di satu tahap, kita boleh banggakan ialah anak muda kita mula peka terhadap nasib mereka dan juga masa depan rakyat. Mereka tidak fikirkan nasib mereka saja tapi nasib rakyat secara majoriti itu.

Berkaitan ada pihak yang mengaitkan dengan guling kerajaan  dan sebagainya, saya tak pasti cuma, ia timbul apabila adanya pihak tidak bertanggungjawab menyebar luas poster himpunan guling kerajaan di laman sosial. Kalau kita lihat penganjur himpunan Turun yang ditangkap itu berkata himpunan guling itu tiada dalam agenda mereka dan katanya ia sebahagian daripada provokasi. Kalau tengok gambar-gambar anak muda pada himpunan itu mereka memakai baju bukan guling tapi Turun. Turunkan harga.

Saya rasa kalau Malaysia ingin meningkat menjadi negara maju, kita kata kita naikkan harga barang supaya kita biasa menjadi negara maju, kita kena bersikap holistik. Antara ciri negara maju adalah kena bersikap responsif, telus dan mempunyai nilai akauntabiliti yang tinggi.

Untuk tujuan tersebut, mereka perlu bersedia untuk mendengar daripada rakyat. Antara mediumnya ialah melalui demo aman, piket, program-program terbuka yang dianjurkan ataupun wacana umum seperti yang dianjurkan Sinar Harian dan badan-badan lain.

Begitu juga media. Media perlu menjadi suara rakyat. Petugas-petugas media juga adalah rakyat. Mereka juga turut menghadapi kenaikan harga barang. Jadi, dalam kes ini, mereka perlu benar-benar menjadi lidah rakyat kepada pihak berkuasa, syarikat-syarikat perniagaan dan golongan yang terlibat dalam proses kenaikan harga ini.

SINAR HARIAN ONLINE: Sebut tentang guling kerajaan, adakah mereka ini benar-benar mahu menggulingkan kerajaan ataupun sekadar mahu kerajaan mengambil perhatian lebih serius terhadap isu kenaikan harga ini?

DR MASZLEE MALIK: Melalui demonstrasi pada waktu malam ini bukan cara orang kita. Saya tak fikir pun anak-anak muda atau pihak yang ingin menyuarakan bantahan mereka terfikir ke arah itu. Kita lihat rakyat Malaysia mempunyai amalan demokrasi yang amat tinggi walau dalam PRU lepas, suara majoriti lebih berpihak kepada pembangkang.

Tapi sistem yang ada membenarkan pihak yang dapat undi popular rendah tetapi dengan kerusi Parlimen tertinggi, itu memerintah... di tahap itu pun rakyat kita boleh terima. Jadi, tahap kesabaran dan kematangan rakyat kita tak boleh dipandang remeh atau diperlekehkan.

Jadi, sebarang tuduhan bahawa golongan yang tidak berpuas hati turun untuk guling dan sebagainya, saya rasa tidak selari dengan realiti. Begitu juga dengan pihak yang begitu mudah menuding jari. Mereka kata, budak-budak ini nak guling dan sebagainya, sepatutnya, pihak-pihak ini berkomunikasi terus dengan mereka.

Sama ada di pihak kerajaan, agama, atau media dengar dulu apa kata budak-budak ini. Mereka nak guling ke atau nak suarakan keluh kesah terhadap kenaikan harga barang. Kenapa tidak dipanggil penganjur-penganjur itu untuk muncul di media? Tanya mereka nak guling ke nak turun?

Mereka tak boleh selamanya diletak di kandang pesalah, dipersalahkan tanpa ada ruang untuk membela diri. Ini amat bertentangan dengan konsep kedaulatan undang-undang yang menyatakan bahawa seseorang itu perlu didengari sebelum dijatuhkan hukuman.

SINAR HARIAN ONLINE: Jadi, desakan dengan cara himpunan ini berkesan?

DR MASZLEE MALIK: Cara ini tidak cukup. Perlu lebih daripada itu. Sebab itu kita lihat perlunya badan-badan bukan kerajaan bersikap lebih proaktif. Dalam kenaikan harga barang ini tidak banyak kita dengar daripada persatuan pengguna. Begitu juga koperasi-koperasi yang wujud yang mewakili kelompok masyarakat, perlu tampil perjuangkan nasib mereka.

Begitu juga golongan cerdik pandai. Mereka perlu tampil untuk menjadi suara rakyat dalam media bukan hanya risaukan pangkat dan kenaikan jawatan dan sebagainya. Mereka kena lihat amanah sebagai ilmuan, cendekiawan itu adalah membela nasib rakyat untuk menghadapi pihak-pihak terlibat dalam menaikkan harga barang.

Dalam sejarah Islam sekalipun, para ulama selalu menjadi suara kepada rakyat kepada khalifah, sultan, pembesar. Begitu juga saya lihat, ulama kena tampil ke hadapan bukan sekadar... sekarang ini mereka sekadar menjadi pendidik kepada masyarakat. Kena keluar juga menjadi pembela kepada masyarakat.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular Posts