60% rakyat Malaysia masih berurus niaga dengan tunai dari menggunakan online

Pengguna gemar guna tunai berbanding kad kredit
OLEH: Tarikh: February 12, 2014

KUALA LUMPUR - Satu tinjauan seluruh dunia oleh Nielsen menunjukkan bahawa warga Malaysia adalah orang yang paling kurang yakin di dunia terhadap pembelian melalui Internet, dengan enam daripada 10 pengguna memilih tunai sebagai kaedah perbelanjaan harian mereka.

Ini disebabkan oleh kebimbangan tentang keselamatan siber yang membuat mereka sama ada teragak-agak atau tidak mahu membeli dalam talian dan menggunakan perincian kad pembayaran mereka melalui telefon pintar atau peranti tablet meskipun maklumat peribadi mereka dilindungi.

Berdasarkan Tinjauan Strategi Penjimatan dan Pelaburan seluruh dunia kendalian Nielsen, meliputi 30,000 responden Internet di 60 negara, sebanyak 60 peratus pengguna Malaysia berkata mereka lebih suka membayar dengan wang tunai berbanding wang plastik.

Bagaimanapun, 20 peratus lebih suka menggunakan kad kredit, kad debit (14 peratus dan kad prabayar (2.0 peratus), kata Nielsen, penyedia maklumat dan analisis arah aliran pengguna global, dalam satu kenyataan hari ini.

Pilihan menggunakan tunai ini lebih tinggi lagi di Filipina (74 peratus), Thailand (68 peratus) dan Vietnam (61 peratus).

"Pada umumnya, pergantungan kepada tunai mempunyai perkaitan dengan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar yang lebih rendah dalam ekonomi-ekonomi membangun.

"Justeru itu, meningkatkan pergantungan kepada kaedah pembayaran lain khususnya penting di negara-negara Asia Tenggara ini," kata Luca Griseri, Ketua Perkhidmatan Kewangan Nielsen di Singapura dan Malaysia, dalam kenyataan itu.

"Pada masa ini ada banyak pilihan yang ada bagi pengguna Malaysia yang memilih untuk membayar tanpa tunai (seperti teknologi tanpa sentuh).

Bagaimanapun, penting difahami halangan dan sebab ramai pengguna di Malaysia memilih untuk menggunakan wang tunai berbanding kad kredit," katanya.

Berhubung kebimbangan tentang keselamatan siber, lebih separuh atau 55 peratus daripada responden Malaysia tidak mahu membeli belah dalam talian.

Usaha untuk mengurangkan pergantungan kepada tunai perlu melibatkan pelbagai pihak.

Penyedia pembayaran boleh mendidik pengguna tentang kos sebenar penggunaan tunai serta tentang keselamatan dan faedah menggunakan alternatif pembayaran yang lain.

Griseri berkata: "Kerajaan boleh mendidik rakyat tentang penggunaan pembayaran bukan tunai secara bertanggungjawab dan menyumbang kepada kesejahteraan kewangan warganya."

Maklumat Nielsen itu juga menunjukkan 42 peratus responden Malaysia menggunakan satu kad pembayaran dengan kerap, manakala 40 peratus menggunakan dua kad, dan 11 peratus menggunakan tiga. Hanya enam peratus kerap menggunakan lebih daripada tiga kad. - Bernama

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular Posts