Apa hebatnya apabila masakan BARAT & ASIA bertemu dalam satu restoran..?

Ramlah Hamat bersama sebahagian daripada sajian yang terdapat di restorannya.

SEBAIK sahaja melangkah masuk ke dalam restoran yang mampu memuatkan kira-kira 50 orang pada satu-satu masa ini, terasa kagum dengan tatarias yang ditampilkan pemiliknya.

Berkonsepkan moden dan santai, ia tidak ubah seperti sebuah restoran mewah dengan gaya elegan dan penuh ketenangan.

Terletak di No. 28-G, Jalan Putra Mahkota 7/7A, Putra Heights, Subang Jaya, Selangor, Restoran Maidah Cuisine merupakan 100 peratus milik bumiputera dan dikendalikan oleh pasangan suami isteri, Mohd. Zaini Mohd. Yatim dan Ramlah Hamat.

Sememangnya ingin menampilan satu kelainan kepada para pelanggan, restoran ini menyajikan hidangan Barat dan Asia.

Ditanya mengapa memilih dua konsep sajian tersebut, jelas Ramlah, ini untuk memudahkan para pelanggan yang datang dengan keluarga memilih menu-menu yang berlainan.

Katanya, tidak semua dalam satu keluarga ingin menikmati satu jenis hidangan, jadi dengan menampilkan menu yang pelbagai ia mampu memenuhi cita rasa sekeluarga yang berbeza-beza.

"Apa yang ditampilkan di Maidah Cuisine ini juga adalah hasil pengalaman sendiri di mana kadang-kala kami sekeluarga mengunjungi restoran untuk menikmati juadah, tidak semua ahli keluarga ingin masakan yang sama.

"Jadi, daripada situlah, apabila ingin membuka perniagaan yang berasaskan makanan, kami memikirkan sesuatu yang mampu menggembirakan hati semua orang," ujarnya ketika ditemui di premis perniagaannya, baru-baru ini.

Memulakan operasi sekitar Mac tahun lalu, Maidah Cuisine tampil dengan lebih daripada 50 menu.

Apa yang menariknya, selain mempunyai menu tetap terdapat juga menu pilihan. Setiap hari pihak restoran akan menampilkan satu menu pilihan dan sekiranya mendapat maklum balas memberangsangkan daripada pelanggan, ia akan dimasukkan ke dalam menu tetap.

Untuk masakan Asia, pilihannya daripada yang bergoreng hinggalah kepada kuah, manakala masakan Barat pula daripada daging, ayam, ikan, hingga kepada salad, semua permintaan akan cuba dipenuhi.

Antara masakan Asia yang cukup popular di Maidah Cuisine ialah nasi ayam Maidah, nasi goreng Maidah, kuay teow Kantonis, nasi goreng makanan laut Maidah, tomyam kung, dan banyak lagi.

Manakala untuk masakan Barat pula disediakan chicken chop, fish and chips, Maidah bone-in BBQ beef ribs, roasted chicken Morocco, dan pelbagai pasta.

Para pelanggan juga boleh memilih pencuci mulut sebagai penutup sajian yang terdiri daripada tiramisu, brownies, dan cream caramel.

Memulakan operasi setiap hari kecuali Ahad pada pukul 10.30 pagi hingga 10.30 malam, segala masakan disediakan oleh chef-chef yang cukup berpengalaman.

Berbicara pula mengenai bahan-bahan yang digunakan, menurut Ramlah, kesemua bahan kecuali daging yang digunakan di restorannya merupakan bahan-bahan tempatan.

Ini termasuklah rempah ratus yang digunakan dalam masakan Barat.

Menurut Ramlah, restorannya juga telah mendapat sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Pada masa yang sama, kebanyakkan menu yang dihasilkan turut diolah cara dan jpenggunaan bahan-bahan mentahnya mengikut resipi sendiri.

Selain ingin memberi kelainan, ia juga adalah untuk menyajikan sesuatu yang baharu dalam cita rasa kepada para pelanggan.

Menyajikan yang segar setiap hari daripada dapur, Ramlah menjelaskan, kesemua menunya hanya akan disediakan apabila mendapat tempahan daripada pelanggan.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20140221/ke_02/Barat-bertemu-Asia#ixzz2u8A5KiW1
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular Posts