FAM belum terima aduan  
Sukri (kiri) didakwa mengeluarkan perkataan lucah kepada Joseph Kalang Tie (kanan).

JAWATANKUASA Pengadilan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) belum menerima aduan rasmi Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) berhubung dakwaan pengadil mengeluarkan perkataan lucah kepada pemain pasukan Bujang Senang pada perlawanan Liga Super menentang Perak, Sabtu lepas.

Akhbar tempatan semalam melaporkan FAS akan menghantar aduan rasmi kepada FAM berikutan tindakan pengadil Sukri Abdul Rahman yang didakwa menyebut perkataan lucah kepada pemain tengah Sarawak, Joseph Kalang Tie sejurus tamat perlawanan yang menyaksikan skuad Bujang Senang menang 1-0 ke atas Perak di Stadium Negeri, Kuching.

Pengerusi jawatankuasa itu, Datuk Astaman Abdul Aziz berkata, FAM tidak boleh mengambil tindakan lanjut berdasarkan laporan akhbar semata-mata.

“Kita tidak boleh ambil sebarang tindakan dengan hanya membaca laporan akhbar tanpa mendapat aduan rasmi daripada pasukan terlibat terlebih dulu. Namun, kita akan melakukan siasatan jika terdapat kes,” katanya.