Bidang baharu dilihat berpotensi sekarang ini ialah menceburi jualan alat ganti kenderaan

Ceburi jualan alat ganti kenderaan
Oleh ZAINU'L AZHAR ASH'ARI
pengarang@utusan.com.my

KANGAR 10 Feb. - Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) telah mengenal pasti beberapa bidang baharu terutama perniagaan alat ganti kenderaan dan barangan perkakasan yang cukup berpotensi untuk diterokai oleh usahawan bumiputera di negara ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, kedua-dua bidang tersebut masih kurang diceburi usahawan bumiputera disebabkan faktor-faktor tertentu antaranya tidak menyedari bahawa ia memberi keuntungan cukup besar.

"Sasaran PUNB mahu melihat sebagai permulaan satu negeri mempunyai sebuah pusat perniagaan alat ganti kenderaan atau barangan perkakasan yang dimiliki bumiputera," kata beliau.

Beliau berkata demikian dalam majlis perjumpaan PUNB bersama usahawan-usahawan PUNB Perlis yang dirasmikan oleh Menteri Besar, Azlan Man di sebuah hotel, di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Jabatan Pelaburan PUNB, Aminuddin Amenon dan Ketua Pejabat PUNB Wilayah Utara, Khairul Rizal Abdullah.

Mohd. Ali berkata, usahawan bumiputera boleh menerokai bidang baharu itu sebagai pembekal kepada rangkaian kedai di kawasan masing-masing khususnya yang dimiliki oleh usahawan PUNB.

"Perniagaan alat ganti kenderaan dan perkakasan masih kurang diceburi bumiputera. Sebagai contoh bagi sesebuah negeri, jika ada permintaan untuk 3,000 barangan, bumiputera cuma bekalkan tiga sahaja seperti kayu, batu-bata dan pasir.

"Selebihnya dimonopoli usahawan bukan bumiputera, jadi usahawan bumiputera kena ambil inisiatif dengan kerjasama diberikan PUNB untuk menerokai bidang ini," tambah beliau.

Mengenai pinjaman PUNB, Mohd. Ali menjelaskan, jumlahnya masih rendah kerana cuma melibatkan RM1.8 bilion sejak perbadanan tersebut diwujudkan pada 1991 sehingga tahun ini.

"Daripada jumlah RM1.8 bilion, setahun cuma melibatkan RM81 juta di seluruh negara manakala di Perlis sejak 1991, jumlahnya RM10.1 juta iaitu kira-kira RM500,000 setahun.

"RM1.8 bilion itu merangkumi 5,000 syarikat dengan 7,000 usahawan bumiputera di seluruh negara," tambah beliau.

Menurut beliau, pada tahun ini, PUNB memperuntukkan RM270 juta dan berharap lebih ramai usahawan bumiputera membuat pinjaman untuk menjalankan perniagaan dalam bidang masing-masing.

Sementara itu, kata Mohd. Ali, PUNB bercadang menghantar penyata pinjaman kepada peminjam PUNB pada setiap bulan berbanding setiap tiga atau empat bulan sekali sebagaimana dilaksanakan ketika ini.

"Sistem ini memudahkan lagi peminjam untuk membuat pembayaran kerana mendapat penyata setiap bulan," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140211/dn_09/Ceburi-jualan-alat-ganti-kenderaan#ixzz2syeeWF3P
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular Posts