Gagal seludup 6 guni daun ketum

Gagal seludup 6 guni daun ketum
PADANG BESAR - Seorang penganggur ditahan Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) manakala seorang lagi rakannya terlepas selepas cuba menyeludup enam guni daun ketum di kawasan Kilang Gula Felda Chuping, dekat sini, semalam.

Komander UPP Chuping, Syed Basri Syed Ali berkata, dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, anggota risik UPP terserempak dengan dua motosikal yang ditunggangi oleh dua lelaki.

Katanya, kedua-dua mereka cuba melarikan diri apabila menyedari kehadiran anggota terbabit namun salah seorang daripadanya berjaya meloloskan diri.

“Seorang lagi suspek meninggalkan motosikal bernombor pendaftaran Thailand bersama tiga guni daun ketum di kawasan tersebut, manakala lelaki tempatan berusia 26 tahun itu berjaya dipintas UPP  dan turut membawa tiga guni daun ketum.

“Kesemua berat daun ketum itu dianggarkan seberat 226 kilogram dengan nilai kira-kira RM18,080,” katanya kepada pemberita di Kompleks UPP Chuping, semalam.

Pihaknya percaya daun ketum itu cuba diseludup ke negara jiran selepas harganya boleh mencecah antara RM80 hingga RM100 sekilogram.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 yang jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya.

Sementara itu, Syed Basri memberitahu lebih RM1.9 juta nilai rampasan dilakukan UPP Chuping sepanjang tahun lalu melibat pelbagai jenis kes penyeludupan termasuk daun ketum, diesel dan petrol serta kes-kes lain.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular Posts