Kanak-kanak perempuan tiga tahun maut dihempap televisyen

http://linc.ucy.ac.cy/isocial/images/stories/tv.png 

Kegembiraan sebuah keluarga untuk merakamkan gambar kenangan semasa meraikan Tahun Baru Cina berakhir dengan tragedi apabila anak tunggal pasangan itu maut selepas sebuah televisyen menghempapnya dalam kejadian di Taman Chai Leng, Perai, di Butterworth, malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Superintendan Baharom Abu, berkata dalam kejadian jam 9 malam itu, keluarga berkenaan sedang bersiap-siap untuk mengambil gambar sebelum kanak-kanak perempuan itu Chew Hui Zhen, berusia tiga tahun, dihempap televisyen bersaiz 29 inci.

"Televisyen jenis lama iaitu saiz besar dan berat itu diletak di atas sebuah rak yang tingginya tidak sampai satu meter dan dipercayai kanak-kanak berkenaan berdiri di hadapan rak itu untuk mengambil gambar sebelum ia (rak) condong dan televisyen itu jatuh atasnya.

"Akibat kejadian berkenaan, mangsa mengalami kecederaan parah dan dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk rawatan lanjut, bagaimanapun kanak-kanak itu meninggal ketika menerima rawatan jam 10.30 malam tadi.

“Kita dimaklumkan kejadian itu oleh hospital dan bedah siasat akan dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kejadian berkenaan," katanya.

Baharom berkata, setakat ini polis menyiasat kejadian itu sebagai mati mengejut kerana laporan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah.

Katanya, pihaknya belum mengambil keterangan daripada ibu dan bapa kanak-kanak itu kerana mereka masih dalam keadaan sedih dan trauma.

"Ketika kejadian beberapa anggota keluarga bapa kanak-kanak itu turut berada di rumah berkenaan dan mereka sedang meraikan sambutan Tahun Baru Cina," katanya.

Sementara itu, usaha pihak media untuk menemu bual ibu bapa kanak-kanak itu, Chew Hock Soon, 26, dan Phoruethai Sae Lee, 25, di bilik mayat HSJ gagal selepas mereka enggan ditemubual.

Bapa kanak-kanak itu bekerja sebagai tukang paip manakala ibunya merupakan warga Thailand dan tidak bekerja. - Bernama, 1 Februari, 2014.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular Posts