KTM
KUALA LUMPUR - Bercuti santai menaiki keretapi? Bagi yang mungkin belum melakukannya dan ingin mencuba, ada berita baik.
  
Bermula tahun baru 2014, Persatuan Pelancongan Kereta Api (RTAM) dengan kerjasama Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) serta Kementerian Pelancongan melancarkan pakej percutian menarik ke pelbagai destinasi di Semenanjung Malaysia.
  
Bersempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014, dan juga untuk mencapai sasaran kementerian menarik 28 juta pelancong dalam dan luar negara, RTAM menawarkan pelbagai pakej percutian menarik.
 
Anda boleh memilih pakej 3 hari 2 malam dengan tinggal di rumah inap dan di pusat peranginan yang meliputi bahagian utara dan timur Semenanjung Malaysia.
  
Terdapat juga sehingga empat pakej pelancongan harian dengan harga bermula dari RM200 serta peluang mengunjungi tempat menarik seperti kolam air panas dan menjelajah kawasan warisan.
 
RTAM turut menawarkan pakej percutian dengan tempat tinggal di lebih 20 rumah inap seperti di Kedah, Melaka dan Kelantan di bawah pakej percutian bermula dari RM500.
  
Mereka yang mengambil pakej percutian ini dapat menikmati perjalanan menaiki kereta api dalam suasana aman di samping melihat pemandangan semula jadi termasuk suasana kehidupan desa.


KEINDAHAN PEMANDANGAN, FLORA DAN FAUNA
 
Pelancong pastinya juga akan merasa kagum dengan khazanah alam semula jadi Malaysia yang kaya dengan flora dan fauna.
  
Secara keseluruhannya, Malaysia mempunyai 8,000 spesies tanaman berbunga terdiri daripada 2,000 spesies pohon, 800 jenis orkid dan 200 jenis palma.
  
Hutan hujan di negara ini juga adalah kediaman semulajadi bagi lebih daripada 200 spesies mamalia, 600 jenis unggas, 300 jenis spesies ikan air tawar, 140 spesies ular, 80 jenis cicak dan ribuan serangga.
  
Di samping itu, Malaysia mempunyai banyak landskap serta pantai seperti Air Terjun Pelangi di Sungai Lembing, Pahang, Hutan Royal Belum dan Pulau Pangkor di Perak, Empangan Beris serta Pulau Langkawi, Kedah.
 

KEBUDAYAAN DAN JUADAH TEMPATAN
 
Dalam menikmati suasana percutian yang mendamaikan, pelancong juga berkesempatan belajar tentang adat, budaya serta agama pelbagai etnik di negara ini khasnya yang berkenaan dengan tiga kaum terbesar - Melayu, Cina dan India.
  
Antara perkara yang sudah pasti menarik perhatian adalah pelbagai jenis permainan tradisi seperti congkak, gasing dan batu seremban.
  
Pakaian tradisi ketiga-tiga masyarakat ini seperti baju kurung, cheongsam dan sari juga pasti menarik perhatian pelancong.
  
Malaysia juga kaya dengan pelbagai jenis juadah di mana pelancong boleh memilih hidangan tradisional atau moden, antaranya lontong, laksa, soto, roti canai, nasi lemak serta nasi kerabu di samping pencuci mulut seperti ais kacang atau cendol, koci, lopes dan seri muka.


MAKLUM BALAS PELANCONG
 
Bagi Abdul Razak Mohamed Adan, 24, dari Somalia yang belajar di Almadinah International University (MEDIU) di sini,  beliau merasa begitu teruja dengan pengalaman yang diperolehinya setelah menyertai pakej percutian rumah inap RTAM.
  
"Percutian ini satu pengalaman yang berbeza sekali daripada penginapan di hotel. Di hotel anda tidak akan dapat menikmati keselesaan sebenar terutamanya apabila berada jauh dari rumah sendiri.
  
"Dengan pakej ini, saya dapat keluarga angkat dan tinggal dengan mereka untuk sepanjang tempoh percutian ini," katanya.
  
Menurut Abdul Razak, antara pengalaman yang tidak mungkin dapat dilupakan ialah menghadiri majlis perkahwinan tradisional orang Melayu.
  
Beliau juga berkesempatan melihat kerja-kerja memulihara seni bina bersejarah seperti Jambatan Victoria di Kuala Kangsar yang dibina sekitar era pemerintahan Ratu Victoria pada 1897.
 

AMAT MENARIK
 
Yunia Vivi Kartika Surianto, 20, berkata beliau tertarik dengan pakej percutian yang ditawarkan RTAM dan menyertai program rumah inap di Ipoh, Perak.
  
Menurut pelajar yang berasal dari Jakarta ini, meskipun tempoh percutiannya singkat tetapi begitu menyeronokkan.
  
"Banyak tempat yang saya dan peserta-peserta lain lawati dan banyak pula gambar yang dapat saya rakamkan.
  
"Antara pemandangan indah adalah di lokasi-lokasi menarik serta bersejarah seperti bandar diraja Kuala Kangsar, Masjid Ubudiah dan Istana Bukit Chandan.
  
"Di tempat-tempat yang kami singgah itu, kami dapati orang-orang tempatan begitu peramah dan mudah mesra. Banyak yang kami pelajari. Makanan juga enak. Saya juga suka dengan suasana kehidupan desa," tambahnya.
  
Pelajar ini turut menyatakan beliau tidak sabar untuk berkongsi pengalaman percutiannya dengan rakan-rakan lain dan merancang untuk mengambil pakej percutian RTAM yang lain.
  
Mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai pakej percutian yang diuar-uarkan ini boleh melayari laman sesawang RTAM di www.malaysiarailwaytourism.weebly.com. atau mengirim emel ke secretariat.rtam@gmail.com  atau menelefon +60173641157/ +60193268480. - Bernama