MAS Pecat Tiga Pramugari, Seorang Pramugara Sertai Himpunan Kesatuan


PETALING JAYA – Seramai empat kakitangan Malaysia Airlines (MAS) telah dipecat kerana didakwa menyertai perhimpunan kesatuan di Putrajaya pada November lalu, kata salah seorang ahli kesatuan.

Presiden Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kapal Kabin Malaysia (Nufam) Ismail Nasaruddin yang juga telah dipecat berkata keempat-empat mereka telah menerima surat penamatan pada Februari.

Anggota Nufam mengambil bahagian dalam perhimpunan aman di Kementerian Sumber Manusia pada 27 November lalu.

Difahamkan tiga daripada yang dipecat adalah pramugari yang bercuti sakit pada hari mereka menyertai perhimpunan.

Ismail, yang dipecat dua hari selepas perhimpunan tersebut berkata penamatan datang selepas surat tunjuk sebab dikeluarkan kepada 30 anak kapal, termasuk anggota exco kesatuan berhubung penglibatan mereka dalam perhimpunan tersebut.

“Perhimpunan itu tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan MAS. Kami berhimpun untuk perkara-perkara melibatkan kesatuan,” tegas Ismail.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu, Nufam berkata MAS telah menggantung Setiausaha Agung kesatuan Mohd Akram Osman, yang juga ketua pramugara syarikat penerbangan itu yang telah berkhidmat selama 25 tahun kerana penglibatannya dalam perhimpunan yang sama dan kerana mengeluarkan satu surat pekeliling kesatuan menggunakan e-mel syarikat.

Kesatuan itu bagaimanapun berkata menghantar pekeliling melalui kemudahan e-mel syarikat itu telah menjadi amalan selama bertahun-tahun dan tidak pernah dipersoalkan oleh syarikat penerbangan itu.

Ia menggesa MAS untuk menarik balik semua surat tunjuk sebab yang dikeluarkan kepada 30 anak kapal.

“Kami masih menunggu kementerian dan syarikat penerbangan untuk bertindak balas terhadap perkara itu,” tambah Ismail. – Mstar.com.my

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular Posts