Matahari  
- Sekadar gambar hiasan

BALIK PULAU - Tiada kata-kata yang mungkin dapat digambarkan apabila berpeluang melihat sendiri kejadian matahari terbenam dengan jarak yang lebih dekat.

Peluang itu diperoleh penulis ketika berkunjung ke Pusat Falak Sheikh Tahir di Pantai Acheh Balik Pulau.

Pusat yang dibuka secara percuma kepada orang ramai itu terletak kira-kira 24 kilometer dari Georgetown.

Menjadi stesen penyelidikan astronomi dan sains atmosfera bersama antara Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang dan Unit Penyelidikan Ilmu Falak dan Sains Atmosfera, Universiti Sains Malaysia (USM), pusat cerapan itu terletak di lokasi yang mempunyai pemandangan semula jadi indah dan mengagumkan.

Ia dibuka secara rasmi pada 30 Rabiulawal 1412H bersamaan 9 Oktober 1991, bertujuan memenuhi keperluan saintifik dalam bidang kritikal seperti kalendar Islam, kajian senja, pemupusan dan pembiasan atmosfera, anak bulan serta perkara yang berkaitan dengannya.

Mempunyai kemudahan kubah cerapan, teleskop penjejak, kemudahan penginapan, dewan syarahan Ulugh Begh, galeri pameran As-Sizji, bilik planetarium, surau dan juga tandas yang selesa, menghabiskan masa seharian di situ sesungguhnya amat berbaloi.

Pengunjung, Nadzirah Mohd Alwi berkata, dia begitu teruja apabila melihat keadaan matahari terbenam selain berpeluang mencerap bulan untuk takwim kalendar Islam.

“Lebih menarik apabila kakitangan di sini memberikan penerangan yang begitu menarik mengenai kejadian ALLAH SWT khususnya keajaiban alam semesta ini.

“Selain hanya mendapat ilmu pengetahuan, sebenarnya kedatangan kita ke pusat
falak ini juga mampu mewujudkan rasa insaf dalam diri mengenai kebesaran ALLAH SWT,” katanya.

Cerap waktu Maghrib

Ketua Bahagian Falak Syarie di Jabatan Mufti Pulau Pinang, Mohd Jais Anuar Ahmad berkata, beliau bersama dengan beberapa kakitangannya akan mencerap bulan Islam bagi melihat ketepatannya.

Menurut beliau, kebiasaannya cerapan akan dilakukan pada waktu Maghrib memandangkan itu adalah saat terbaik untuk melihat anak bulan.

“Orang ramai dialu-alukan untuk turut serta bersama kami untuk mencerap anak bulan mahupun menyertai pelbagai aktiviti bersama dengan kami.

“Malah ia turut dibuka kepada pelajar sekolah dan juga penuntut Institusi Pengajian Tinggi (IPT), kakitangan kami juga akan mengadakan bengkel secara percuma untuk memberi maklumat lebih lanjut,” katanya.

Sheikh Tahir ilmuwan falak terkenal

Nama pusat falak di sini diberikan sempena nama Syeikh Tahir Jalaluddin adalah anak Melayu Minangkabau yang telah berhijrah dan menetap di Tanah Melayu.

Di belakang namanya kerap disunting perkataan ‘Al-Azhari, Al-Falaki Assyahir’ iaitu bererti keluaran Universiti al-Azhar di Mesir dan seorang ahli falak yang terkenal.

Syeikh Tahir dikatakan telah datang ke Tanah Melayu pada 1899 dan mendirikan rumah tangga dengan seorang gadis Perak dari suku Rawa, bernama Aishah Mustafa.

Sebagai seorang ahli falak, beliau sering berdepan dengan persoalan bagi menentukan tarikh berpuasa dan hari raya.

Memandangkan betapa beliau menitikberatkan arah kiblat bagi syarat sah solat orang Islam, Syeikh Tahir pernah dilantik Sultan Perak, Sultan Idris Shah untuk menjadi pemeriksa kiblat di seluruh Perak.

Syeikh tahir turut pernah melahirkan kekesalannya kerana terdapat banyak mihrab masjid yang tidak sehala dengan arah kiblat.

Berikutan timbulnya kekeliruan dengan hala kiblat masjid, Syeikh Tahir telah mengambil inisiatif untuk menerbitkan dua buku Pati Kiraan bagi menentukan waktu yang Lima dan hal Kiblat dengan Logaritma diterbitkan pada 1938.

Dalam soal kiblat pula beliau mengatakan orang Islam wajib mempelajari arah kiblat, dan wajib pula menyebarkan pengetahuannya itu.

Bagi anda yang ingin berkunjung ke Pusat Falak Sheikh Tahir di Pantai Acheh ini bolehlah menghubungi Bahagian Falak dan Sumber Maklumat Jabatan Mufti Pulau Pinang menerusi talian 04-2630634 atau 04-6505453.