Pernah dihalau bapa pengantin

 
Tengku Samsiah Faizawani Tengku Nazai SUNGAI PETANI - “Kisah dihalau bapa pengantin sebaik sahaja selesai memasang pelamin dalam satu majlis perkahwinan merupakan pengalaman yang tidak mungkin dapat dilupakan.

Demikian luahan perancang perkahwinan, Tengku Samsiah Faizawani Tengku Nazai, 37, yang mula berkecimpung dalam bidang berkenaan selepas mengikuti suami berpindah ke Kedah pada 2008.

Menurutnya, bermacam-macam cabaran pernah dilalui dan pengalaman idea gubahan eksklusif ditiru pihak ketiga juga adalah yang paling tercabar.

“Saya juga sering kehilangan pekerja yang mengambil keputusan berhenti selepas berhasrat mengusahakan perniagaan sendiri walaupun pada mulanya saya mendidik mereka,” katanya.

Menurut ibu empat anak yang mesra dipanggil Wani, ujian yang dilalui ditempuhi dengan sabar dan percaya setiap individu mempunyai rezeki masing-masing sekiranya rajin berusaha.

Menganggur empat bulan

Menceritakan pengalaman itu, bekas kerani pentadbiran sebuah kolej itu berkata, keputusan berpindah ke utara semenanjung adalah sesuatu yang sukar memandangkan dia terpaksa menganggur
selama empat bulan sebab tiada pekerjaan sesuai dengan dirinya.

Menurutnya, bermula dari modal yang diberikan suami, Wani menjalankan perniagaan menjual tas tangan berjenama yang diiklankan menerusi atas talian.

Setahun beroperasi, perniagaannya sudah dikenali dan keuntungan daripada sambutan yang menggalakkan, dia berjaya membuka dua kedai di pusat beli-belah.

Diminta lelong pakaian pengantin

Pernah dihalau bapa pengantin
“Pada suatu hari, saudara suami meminta kami membuat lelongan lebih 40 pasang pakaian dan aksesori pengantin yang terbiar selama enam bulan selepas pemiliknya meninggal dunia.

“Pada mulanya, barangan berkenaan diambil dan dikumpulkan di rumah sewa. Bagaimanapun, secara tiba-tiba, terdetik mahu menyewakan pakaian pengantin melalui promosi yang dibuat atas talian.

Pakej yang ditawarkan bernilai RM500 setelah pakaian dibaik pulih serta aksesori pelamin diubah suai dan ditambah,” katanya.

Menurut Wani, memandangkan harga murah yang ditawarkan, pakej berkenaan mendapat sambutan hangat pelanggan.

Melihat permintaan menggalakkan, dia mula membeli 16 pakaian pengantin dari Indonesia sebelum menawarkan kepada pelanggan dengan pakej lebih bernilai.

Leceh dengan reaksi pelanggan yang terpaksa datang ke rumah sewa untuk mendapatkan pakej perkahwinan, Wani kemudiannya menyewa sebuah kedai di Bandar Puteri Jaya, tiga tahun lalu.

Akhirnya kini, dia memiliki lebih 100 pasang pakaian pengantin yang direka dan dijahit sendiri, dengan tiga pekerja tetap selain 20 pekerja sambilan.

Bapa pengantin tidak suka pelamin

Menceritakan pengalaman pahit, katanya, dia pernah diherdik bapa pengantin sebaik selesai memasang pelamin di sebuah majlis perkahwinan dekat Penghulu Him suatu ketika dahulu.

“Saya bersama kakitangan mula membuat persiapan pada tengah hari tersebut. Macam biasa, kerja hanya selesai dua atau tiga jam kemudian.

“Ketika dalam proses untuk beredar, ayah pengantin baru sahaja pulang dari menunaikan solat Asar. Dalam nada kasar, lelaki itu menghalau kami agar membawa pulang pelamin kerana dia tak izinkan,” katanya.

Dalam nada cemas, Wani menjelaskan, pakej itu ditempah pasangan pengantin dan bayaran juga sudah diselesaikan.

“Difahamkan, bapanya ‘orang kuat’ masjid dan mahu menjemput jemaah melakukan majlis tahlil pada masa sama.

“Memang agak malu dan kecil hati, tetapi mujur keadaan kembali tenang apabila isterinya minta kami pulang dulu dan perkara itu akan diselesaikan melalui perbincangan keluarga,” katanya.

Menurut Wani, walaupun pahit tetapi pengalaman sebegitu sebenarnya dapat mematangkan dirinya.

“Namun kini, kita bersikap terbuka. Sekiranya pelanggan tidak mahu pelamin, kita tukar dengan hiasan kerusi atau pakej ‘mini pelamin’ yang hanya digunakan untuk sesi bergambar,” katanya.

Puas apabila pelanggan gembira

Wanita berjiwa cekal ini berkata, dia berasa teruja sekiranya perkhidmatan yang ditawarkan dapat memuaskan hati pelanggan.

“Sekiranya ada pelanggan mengucapkan terima kasih atau puas hati menerusi laman sosial Facebook dan disokong ramai pengguna laman sosial, itu adalah kepuasan sebenar.

“Saya juga tidak teragak-agak untuk menolak permintaan sekiranya mempunyai banyak tempahan kerana mengamalkan prinsip tidak perlu tamak kerana rezeki tetap ada sekiranya kita berusaha,”
katanya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular Posts