Riba’ dalam Islam dan produk kewangan masakini

– Mohd Azrul Abu Hassan

February 11, 2014

Saya tertarik dengan “tweet” yang dibaca di “timeline” saya baru-baru ini apabila seorang saudara Islam dari Malaysia menegaskan bahawa Amanah Saham Bumiputra itu haram, dengan tweetnya semuanya berhuruf besar.

Saya bersyukur rakyat Malaysia masih mahu menjaga halal dan haram walaupun beberapa “public figure” seperti artis "diva pujaan" mahupun pemimpin "agung anugerah Tuhan" tidak memberi contoh yang baik kepada masyarakat.

Soal makanan khususnya sangatlah dititikberat oleh masyarakat Muslim Malaysia di mana pihak restoran disarankan meletakkan sijil halal bagi meyakinkan mereka ini, sehinggakan air mineral dan ubat gigi juga disuruh letak logo halal.

Sebelum kita berbincang, mari kita lihat dalil-dalil pengharaman riba' oleh Allah S.W.T. kerana itulah sebaik-baiknya:

"dan disebabkan mereka memakan riba', padahal sesungguhnya mereka telah dilarang daripadanya, dan kerana mereka memakan harta benda orang dengan jalan yang batil. Kami telah menyediakan untuk orang-orang yang kafir di antara mereka itu siksa yang pedih." - An-Nisa' 161

"Orang-orang yang makan (mengambil) riba' tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya orang yang kerasukan syaitan. Keadaan mereka yang demikian itu, adalah disebabkan mereka berkata (berpendapat), sesungguhnya jual beli itu sama dengan riba', padahal Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba'.

“Orang-orang yang telah sampai kepadanya larangan dari Tuhannya, lalu terus berhenti (dari mengambil riba'), maka baginya apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum datang larangan); dan urusannya (terserah) kepada Allah. Orang yang kembali (mengambil riba'), maka orang itu adalah penghuni-penghuni neraka; mereka kekal di dalamnya" - Al-Baqarah 275

"Allah susutkan (kebaikan harta yang dijalankan dengan mengambil) riba' dan Ia pula mengembangkan (berkat harta yang dikeluarkan) sedekah-sedekah dan zakatnya. Dan Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang kekal terus dalam kekufuran, dan selalu melakukan dosa.

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mengerjakan sembahyang serta memberikan zakat, mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba' (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang- orang yang beriman.

“Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba' itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat). Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu.

“(Dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa. Dan jika orang yang berhutang itu sedang mengalami kesempitan hidup, maka berilah tempoh sehingga ia lapang hidupnya dan (sebaliknya) bahawa kamu sedekahkan hutang itu (kepadanya) adalah lebih baik untuk kamu, kalau kamu mengetahui (pahalanya yang besar yang kamu akan dapati kelak)." - Al-Baqarah 276-280

"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu makan atau mengambil riba' dua atau berlipat-lipat ganda, dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah supaya kamu berjaya." - A-li'Imraan 130

Jelasnya di sini Allah S.W.T. telah mengajar kita di dalam Al-Quran yang riba' itu sememangnya haram. Allah juga telah mengajar kita definisi riba' iaitu menggandakan nilai pokok sebanyak dua kali ganda atau lebih demi keuntungan pemiutang (pemberi hutang).

Allah juga menyarankan yang jika penghutang itu dalam keadaaan susah, hendaklah memberikan masa kepadanya untuk melangsaikan hutang tersebut.

Jika penghutang sememangnya tidak mampu membayar hutang tersebut, hendaklah melupuskan hutang tersebut dengan niat kerana bersedekah kerana Allah.

Sekarang, berbalik pula kepada persoalan jika unit Amanah Saham Bumiputera (ASB) itu haram kerana percampuran dengan kaunter-kaunter saham yang di luar dari syarak.

Sekiranya kaunter saham tersebut merangkumi jual-beli barangan haram seperti alkohol, jelas sekali penggunaan unit saham itu adalah makruh berdasarkan beberapa hadith kerana unit itu kini menjadi "harta syubahat".

Namun begitu adalah lebih selamat jika harta syubahat (yang ragu-ragu) itu dielakkan. Dari konteks ASB pula, yang diragui adalah perniagaan perbankan yang menjadi aset utama dalam tabung amanah tersebut. (Malayan Banking Berhad 23.23% - 31/12/2012)

Saya berpeluang untuk mendapatkan bantuan pinjaman perumahan daripada Maybank Islamic untuk membeli sebuah rumah di Shah Alam.

Jika saya, (aku berlindung dengan-Mu ya Allah daripada musibah ini) mengalami sesuatu kesusahan dan terpaksa lewat membayar hutang tersebut, saya akan dikenakan denda sebanyak beberapa peratus daripada nilai baki akaun pinjaman.

Ini juga bertentangan dengan dalil di atas dalam ayat Surah Al-Baqarah ayat 280. Sepatutnya, diberi peluang kepada peminjam beberapa waktu untuk melangsaikan hutang tersebut.

Mari kita lihat satu ilustrasi pinjaman perumahan di mana interest/profit rate adalah 4.2%, "daily-compounded", selama 30 tahun dan nilai pokok RM500,000.

Jika dikira, nilai bayaran setiap bulan adalah RM2,446. Jumlah bayaran keseluruhan termasuk “interest” setelah 30 tahun adalah = 2,446 x 12 x 30 = RM880,560. Jumlah ini tidak melebihi dua kali ganda daripada nilai pokok (1.76112 kali ganda).

Pengiraan ini tidak termasuk inflasi di mana nilai RM880,560 kini tidak sama dengan RM880,560 akan datang. (Insya Allah akan dikongsikan pendapat tentang inflasi dalam artikel yang akan datang). Pada hemat saya, pinjaman wang ini adalah halal dan dipersetujui kedua-dua pihak asalkan denda seperti di atas tidak dikenakan.

Jika kita lihat pula suatu ilustrasi pinjaman perseorangan (personal loan) dan saya akan berikan contoh yang sebenar-benarnya berlaku.

Seorang hamba Allah ini mahu memulakan perniagaan MLM "bantal/tilam ajaib cahaya Dhuha" dan mahu mendapatkan pinjaman perseorangan sebanyak RM3,000 sebagai modal.

Beliau telah dipujuk oleh "upline"-nya untuk mengambil pinjaman ini dan setelah berjumpa dengan agen pemberi hutang dari syarikat AEON, beliau dikenakan bayaran sebanyak RM128 selama 5 tahun.

Ringkasnya, jumlah perlu dibayar selepas 5 tahun adalah RM7,680 iaitu 2.56 kali ganda daripada nilai pokok.

Pinjaman wang ini jelasnya adalah haram kerana melebih dua kali ganda. Jika diamati daripada website AEON, www.aeonmalaysia.com.my, bagi jumlah pinjaman yang sama, "instalment table" jelas menunjukkan bagi "New Customer" dia cuma perlu bayar selama 3 tahun sahaja, bukan 5 tahun.

Jika ini yang diikuti, jumlah bayaran setelah 3 tahun adalah 1.536 kali ganda sahaja, kurang daripada 2 kali ganda yang dibenarkan oleh syarak.

Jadi, sama ada peminjam ini ditipu oleh agen AEON atau "upline"nya wallahualam. Namun bagi saya, saya takkan ambil pinjaman seperti ini. Terlalu mahal dan tidak menjamin keuntungan hatta bayaran balik pinjaman!

Ringkasnya, sistem pinjaman wang di Malaysia sama ada "Islamic" atau konvensional masih lagi mempunyai ruang untuk diperbaiki walaupun ia semakin dekat ke arah "Pure Islamic Finance"/"Ethical Finance".

Hal ini telah dibincangkan oleh saya di artikel ini. Jadikanlah Al-Quran sebagai pegangan setiap insan kerana soal riba' telahpun diajar oleh Islam secara jelas dan telus kepada manusia sekaligus menjawab persoalan halal haram dalam produk kewangan masakini. – 11 Februari, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular Posts