Sistem buku teks masuk era digital, mampukah guru, murid, ibu bapa dan kerajaan menempuhinya?

NASIONAL

Guru sambut baik buku teks digital tapi...
OLEH: RAZIATUL HANUM A. RAJAK

SHAH ALAM – Suara Guru-Masyarakat Malaysia (SGMM) menyambut baik inisiatif Kementerian Pendidikan memperkenalkan buku teks versi digital yang boleh diakses dalam talian sebagai alternatif kepada buku teks digital.

Menurut Ketua Gerak Kerjanya, Mohd Nor Izzat Mohd Johari, pembaharuan yang dibuat oleh kementerian merupakan pendekatan untuk menuju ke negara maju.

“Saya dah ‘review’ sedikit. Ia akan dilaksanakan dengan tiga fasa juga. Idea ini memang cantik. Interaktif dalam buku digital itu memang terbaik.

"Saya akui, salah satu buku yang saya lihat memang terbaik. Kandungannya menarik,” katanya kepada Sinar Harian Online.

Jumaat lalu, Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh mengumumkan bahawa penggunaan buku teks digital yang mengandungi teks grafik serta ciri flip (selak helaian) itu akan dilaksanakan secara berperingkat di semua sekolah di seluruh negara mulai tahun ini.

Bagaimanapun tambah Nor Izzat, kementerian perlu melihat dari keseluruhan aspek dan tidak hanya mengejar kepada kemajuan melalui teknologi semata-mata.

Mengulas lanjut, Nor Izzat turut menyentuh beberapa perkara yang perlu diambil perhatian oleh kementerian.

“Antaranya kesempurnaan dalam penyediaan infrastruktur berkenaan teknologi yang disebut. Kalau kata buku teks digital, ia merangkumi sambungan internet, kelengkapan dari segi murid, guru dan sekolah sendiri.

“Ketiga-tiganya perlu memainkan peranan penting kerana kita tahu kementerian sudah mampu lakukan dan sediakan kemudahan iaitu buku teks secara digital," katanya.

Menurutnya lagi, dari segi pengguna yang terdiri daripada guru-guru, sekolah dan murid itu sendiri, adakah relevan penerimaan dan penggunaan tersebut?

"Adakah bersesuaian dan bertepatan?” soalnya.

Bagaimanapun, ujar beliau lagi, inisiatif kementerian itu adalah interaktif dan kandungannya begitu menarik.

Ketika ditanya soal penyalahgunaan yang mungkin berlaku, beliau akui ia menjadi kekangan dalam pelaksanaan inisiatif terbaru kementerian itu.

“Dalam keadaan semasa ini, guru tak boleh nak menegur murid, tak boleh nak marah murid...maksud saya tak boleh nak marah untuk proses Pembelajaran dan Pengajaran (P&P).

“Jadi, apabila Menteri kata boleh bawa gajet ke sekolah, mungkin akan mengganggu proses P&P. Jadi, mungkin boleh dikaji bagaimana nak kawal perkara itu.

"...tapi dalam keadaan sekarang seorang guru dengan 40 orang pelajar, saya rasa agak mustahil untuk memastikan murid-murid memberi tumpuan kepada pengajaran menggunakan buku teks digital ini. Murid-murid boleh buka apa saja,” katanya.

Tambahnya, “Jadi, banyak kontranya. Dari segi pelaksanaan itu perlukan penambahbaikan. Bermula sekarang, mungkin kementerian sudah boleh mengatur bagaimana nak mengecilkan margin pelajar tersebut.

"Contohnya, mungkin seorang guru mendapat 15 hingga 20 pelajar, di situ nampak positifnya iaitu guru boleh menguasai murid sepenuhnya dalam kelas," katanya lagi.

Pendigitalanbuku teks ini dilakukan dalam tiga gelombang seperti yang termaktub dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) bermula tahun 2013 hingga 2025.

Gelombang pertama (2013-2015), kementerian telah memuat naik 313 judul buku teks yang boleh diakses secara percuma melalui portal 1BestariNet menggunakan ID yang telah dibekalkan kepada semua guru dan murid.

Bagi gelombang kedua (2016-2020), kementerian merancang untuk menghasilkan buku teks dalam bentuk interaktif bagi mata pelajaran terpilih, yang mengandungi elemen teks, grafik, audio, video dan animasi untuk membantu pemahaman murid dalam pengajaran dan pembelajaran.

Gelombang ketiga (2021-2025) pula bakal menyaksikan penerbitan buku teks digital bagi semua mata pelajaran termasuk bagi murid berkeperluan khas.

Menurut Idris, para pelajar juga dibenarkan membawa peranti masing-masing (tablet, iPad) ke sekolah bagi tujuan mengakses buku teks digital untuk menggantikan buku teks bercetak.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular Posts