Syarikat pembangun Candy Crush mahu apungkan saham

LONDON: Pembangun permainan video popular Candy Crush, King Digital Entertainment hari ini mengumumkan hasrat untuk menawarkan terbitan saham awam (IPO), sekali gus menyenaraikan syarikat itu di Bursa Saham New York.

Lebih sejuta pengguna terdiri daripada remaja mahupun pesara menggunakan aplikasi permainan video itu yang memerlukan pemain menyusun tiga gula-gula berbentuk sama pada paparan skrin komputer dan telefon pintar masing-masing.

Syarikat berkenaan sudah menyerahkan cadangan penyenaraian IPO itu kepada Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Amerika Syarikat (SEC).

Menurut kenyataan yang dikeluarkan hari ini, syarikat itu berhasrat menyenaraikan saham di papan utama Bursa Saham New York menggunakan simbol KING.

Berdasarkan kepada jangkaan yang dikeluarkan SEC, syarikat itu berharap dapat melonjakkan sahamnya kepada AS$500 juta.

Candy Crush bermula sebagai satu daripada permainan di laman sosial, Facebook pada 2012 yang boleh dimainkan secara dalam talian atau di telefon pintar.

Permainan ini boleh dimuat turun secara percuma tetapi pemain boleh membayar untuk ciri tambahan bagi membantu mereka melepasi halangan hingga peringkat ke-500 permainan.

Penganalisis permainan video di firma perundingan dan penyelidikan digital (IDATE), Laurent Michaud, berkata ia adalah perniagaan bersaiz sederhana, dengan model perniagaan global.

“Perniagaan mereka sudah berkembang dengan pesat. Tawaran Awam Permulaan (IPO) adalah hasil kepada pembangunan antarabangsa mereka,” katanya.

Berdasarkan kepada kajian IDATE, Candy Crush merekodkan kira-kira 700 juta sesi permainan dan jualan harian syarikat itu meningkat kepada AS$850,000.

Menurut soal selidik terhadap pemain Candy Crush tahun lalu, 30 peratus daripadanya mengakui ketagih dengan permainan itu manakala 67 peratus menyatakan bahawa ia memberi kesan terhadap cara kehidupan mereka.

Berdasarkan penyelidikan yang dijalankan firma Ask Your Target Market mendapati suku daripada jumlah pemain membelanjakan wang mereka untuk permainan itu. -AFP

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular Posts