TM tawar khidmat percuma naik taraf internet


TM
KUALA LUMPUR - Syarikat maklumat dan telekomunikasi bersepadu, Telekom Malaysia Bhd, menawarkan khidmat percuma menaik taraf sehingga 20 kali kelajuan semasa kepada pelanggan jalur lebar Streamyx dan UniFi melalui 'Tawaran Terbaik Hypp-Normous'.

Naib Presiden Eksekutif untuk Pelanggan, Imri Mokhtar berkata, tawaran itu adalah sebahagian daripada kempen 'Hidup Dipermudah' syarikat yang menawarkan pakej nilai untuk wang kepada pelanggan TM.

"Mereka hanya perlu melanggan Televisyen Protokol Internet (IPTV) TM, HyppTV, dengan bayaran serendah RM30 sebulan.

"Pelanggan mempunyai pilihan untuk meningkatkan kelajuan Internet sehingga 20 kali lebih cepat serta meningkatkan keseronokan hiburan dengan perpustakaan kandungan edutainment HyppTV dalam definisi tinggi," katanya dalam satu kenyataan.

Imri berkata, melalui tawaran terhad itu, pelanggan UniFi sedia ada dan baharu boleh jimat sehingga RM1,200 dalam dua tahun jika mereka melanggan pek HyppTV sebelum 31 Mac pada RM50 sebulan dan menaik taraf secara automatik kepada UniFi VIP 10 (10Mbps) atau VIP 20 (20 Mbps).

Untuk perkhidmatan Streamyx, beliau berkata, pelanggan sedia ada dan baharu boleh menikmati penjimatan sehingga RM720 dalam dua tahun jika mereka melanggan atau menaik taraf kepada perkhidmatan 8Mbps dan menikmati HyppTV Platinum Pack atau HyppTV Ruby Pack secara percuma.

Sehingga kini, HyppTV mempunyai 113 saluran dan lebih 3,000 jam video-atas-permintaan. - Bernama

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular Posts