Tuah berbeza LCW, Lin Dan....

Peluang Chong Wei pertahan gelaran Seluruh England, bintang China tak layak

Kuala Lumpur: Datuk Lee Chong Wei optimis untuk merangkul gelaran ketiga Seluruh England di Birmingham bulan depan, meskipun bakal berdepan cabaran sengit terutama daripada barisan pemain China.

Begitupun, pemain nombor satu dunia yang akan tampil sebagai pilihan pertama itu, boleh menarik nafas lega apabila seteru utamanya, Lin Dan (gambar kecil) dari China tidak layak beraksi dalam kejohanan berprestij pada 4 hingga 9 Mac ini.

Olimpik dua kali

Ini berikutan juara Olimpik itu hanya mampu menghuni ranking ke-104 dunia, gara-gara enam bulan menyepikan diri daripada menyertai sebarang kejohanan.

Chong Wei bagaimanapun masih perlu berwaspada dengan kelibat seorang lagi pemain China iaitu Chen Long, yang sebelum ini berjaya menggagalkan misinya meraih gelaran ketiga dalam aksi final edisi tahun lalu.

Pemain dari Tembok Besar itu juga menundukkan naib juara Olimpik dua kali ini, ketika final Terbuka Korea, bulan lalu yang sekali gus menyaksikan dia mengatasi jaguh negara itu dengan rekod lapan kemenangan daripada 15 pertemuan.

“Saya rasa kali ini peluang tetap ada. Saya sendiri berharap dapat mengekalkan keputusan yang baik untuk tahun ini (selepas muncul naib juara Terbuka Korea dan juara Terbuka Malaysia, Januari lalu),” katanya yang sudah dua kali menjulang trofi Seluruh England apabila menjuarainya pada 2010 dan 2011.

Begitupun Chong Wei yang akan berpasangan bersama Lin Dan dalam acara beregu pada satu perlawanan pertunjukan di Lingshui, China, pada Ahad ini, tidak mahu terlalu memikirkan mengenai siapa lawan bakal dihadapinya sebaliknya terus fokus kepada persiapan dirinya.

“Sekarang ini apa yang paling penting adalah tidak mengalami sebarang kecederaan sebelum ke sana nanti. Saya perlu pastikan mendapat latihan dan rehat secukupnya,” katanya yang akan menjangkau usia 32 tahun Oktober ini.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular Posts