Apa itu PEMBENIHAN AWAN!!!

Pembenihan awan 'penyelamat' musim kering

KRISIS air yang melanda beberapa negeri ketika ini menjejaskan kehidupan harian orang ramai termasuk merencatkan pembangunan negara.

Ia lanjutan cuaca panas dan kering berikutan kadar hujan di kawasan terbabit amat sedikit terutamanya di utara Semenanjung Malaysia sejak awal Januari lepas.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pusat Cuaca Nasional, Jabatan Meteorologi menyatakan fenomena itu akan berterusan sehingga penghujung bulan ini memandangkan kutipan hujan mula bertambah sekitar awal dan pertengahan Mac depan.

Pengarahnya, Muhammad Helmi Abdullah berkata, catatan tertinggi direkodkan ialah 36 darjah Celsius di negeri-negeri seperti Perlis, Pulau Pinang dan Kedah.

“Walaupun wujud kelompok-kelompok awan di beberapa kawasan tetapi jumlahnya tidak banyak,” ujarnya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Cuaca panas menyebabkan empangan di negeri-negeri terlibat menghadapi pengurangan drastik. Mengikut catatan Empangan Sungai Selangor minggu lalu, baki air hanya 58 peratus manakala Empangan Klang Gate cuma 57 peratus.

Sehubungan itu, bagi mengatasi kekurangan air kepada penduduk setempat, cadangan melakukan pembenihan awan dilihat sebagai langkah terakhir bagi mengembalikan jumlah takungan air.

Pembenihan awan dilakukan di kawasan takungan air memandangkan ia menjadi sumber utama orang awam mendapatkan air bersih.

Teknik itu dilakukan untuk meningkatkan penghasilan awan pada satu kawasan tertentu. Awan yang terkumpul akan menurunkan hujan pada kawasan yang diinginkan.

“Selain itu, kawasan tersebut juga perlu ada awan kerana jika tiada awan berdekatan, proses pembenihan tidak dapat dilakukan,” ujar Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi, Datuk Che Gayah Ismail.

Beliau menambah, awan yang bersesuaian juga memainkan peranan penting dalam proses tersebut. Kebiasaannya, awan yang digunakan daripada jenis Towering Cumulus (kumulus menjulang).

Bagi membolehkan ia dilakukan dengan berkesan, ketidakstabilan angin memainkan peranan penting agar pembentukan awan yang sesuai untuk proses pembenihan.

“Angin tidak boleh terlalu kuat kerana ia boleh menyebabkan pembentukan awan tidak berada pada kawasan yang dimahukan,” jelasnya.

Jenis pembenihan awan

Terdapat dua jenis pembenihan awan yang biasa dilakukan di Malaysia iaitu Dry Seeding (pembenihan kering) dan Wet Seeding (pembenihan basah).

Melalui Dry Seeding, juruterbang akan membakar katrij yang mengandungi bahan garam berbentuk solid ke awan. Ia akan menyebarkan garam ke kawasan sekitar bagi membentuk awan.

Teknik Wet Seeding menggunakan larutan garam dan air yang dimasukkan dalam satu tangki. Apabila sampai ke kawasan pembenihan, larutan tersebut akan disebarkan oleh juruterbang.

“Nukleus-nukleus garam tersebut akan menarik wap air bagi menghasilkan awan,” kata Che Gayah.

Beliau menjelaskan, bahan kimia yang terdapat dalam sebatian garam tidak menjejaskan kesihatan orang awam kerana ia digunakan dalam kuantiti yang sedikit.

“Malah, bahan kimia yang dipanggil silver iodide itu juga digunakan dalam kebanyakan perubatan komersial. Maka, ia tidak menjejaskan keselamatan individu,” terang Che Gayah.

Kaedah pembenihan juga dilakukan di beberapa negara yang dilanda musim kemarau. Di Emiriah Arab Bersatu (UAE), ia telah digunakan sejak 10 tahun yang lalu.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, negara tersebut semakin giat melakukan teknik penghujanan segera itu disebabkan kadar penurunan hujan yang sedikit.

Tahun lalu, UAE telah melakukan lebih 200 misi pembenihan awan untuk membantu penduduk yang berdepan krisis air.

Di China, pembenihan awam dilakukan untuk mengatasi masalah pencemaran. Negara Tembok Besar itu membelanjakan RM494 juta pada tahun 2011 bagi program pembenihan awan.

Menurut Ketua Pentadbiran Meteorologi China (CMA), proses itu akan digiatkan melalui “program pengubahsuaian cuaca”. Ia akan menggunakan lebih 280 bilion tan bagi membantu sektor pertanian dan pengindustrian di negara itu.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular Posts