APMM terima kebenaran henti SAR di Selat Melaka

Langkawi: Semua aset milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang digunakan untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat MH370 di Selat Melaka dipanggil pulang semalam.

Difahamkan, ia membabitkan tiga kapal milik APMM, masing-masing bersaiz minimum 30 meter iaitu KM Tenggol, KM Kimanis dan KM Marlin.

“Kita terima kebenaran untuk hentikan SAR di Selat Melaka. Jadi, semua tiga kapal kita yang berada di tiga sektor pencarian diberi kebenaran untuk meninggalkan lokasi dan bergerak pulang ke markas,” kata sumber APMM ketika dihubungi.

Berdasarkan maklumat, KM Tenggol baru memasuki kawasan pencarian kelmarin, iaitu di Sektor A yang terletak paling utara di Selat Melaka dan turut meliputi sekitar Pulau Perak bersempadan dengan Indonesia.

Kapal jenis PX itu menggantikan KM Sugut milik APMM yang dikatakan sudah berada di lokasi pencarian sejak Ahad lalu.

Sementara KM Kimanis pula sudah berada di lokasi pencarian sejak Ahad minggu lalu dan menjalankan operasi SAR di Sektor B, manakala KM Marlin pula di Sektor D.

Selain kapal milik APMM, lima kapal milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) turut membantu operasi SAR di enam sektor ditetapkan ARCC di sekitar Selat Melaka membabitkan Sektor A, B, C, D, E dan F.

Tumpuan baharu

Turut serta, tiga kapal dari Indonesia membabitkan KRI Kraf, KRI Sultanto dan KRI Matacora yang membantu tugas pencarian di sekitar kawasan perairan bersebelahan negara jiran itu.

Sementara itu, sumber ketika diminta mengulas arahan menghentikan operasi di Selat Melaka itu, bagaimanapun enggan menjelaskan secara terperinci, termasuk status kapal milik agensi lain yang turut menjalankan SAR di sekitar Selat Melaka.

Namun, sumber itu tidak menolak kemungkinan arahan dikeluarkan susulan tumpuan baharu pasukan penyiasat berhubung kehilangan pesawat jenis Boeing 777 di sekitar dua koridor utama seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kelmarin.

Dua koridor itu membabitkan di kawasan utara yang dianggarkan menjangkau dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan sehingga utara Thailand, selain di selatan yang dianggar mengunjur dari Indonesia ke utara Lautan Hindi, selepas pesawat tidak dikenali yang dikesan radar utama sebelum ini disahkan pesawat MH370.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular Posts