Berhenti makan telur tuntung  
Antara peserta yang terlibat dalam gotong-royong pembersihan Pantai Penarik.

SETIU – Spesies tuntung laut kini berada pada tahap ancaman yang begitu kritikal berikutan ia menunjukkan penurunan pendaratan yang ketara dalam tempoh lima tahun apabila hanya 69 sarang telah dieramkan pada tahun lalu berbanding 114 pada 2009.

Pegawai Biologi Kanan, Tabung Alam Sedunia Malaysia (WWF), Pemuliharaan Penyu Terengganu, Sharifah Ruqaiyah Syed Mustafa berkata, penurunan yang mendadak itu dipengaruhi pelbagai faktor antaranya ancaman daripada manusia dan habitat yang terganggu akibat pembangunan.

“Tuntung laut sedang menghadapi ancaman kepupusan yang sangat kritikal dan hal ini perlu ditangani secara serius, di mana amalan pemakanan telur tuntung yang masih lagi berleluasa, kemusnahan habitat akibat pembangunan kawasan tebing sungai dan pantai serta terperangkap di dalam pukat nelayan.

“Justeru, kita ingin menyeru kepada semua pihak agar memandang serius dengan ancaman terhadap spesies yang dihambat kepupusan ini dengan memastikan perkara-perkara tersebut terus dihentikan segera yang mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Gotong-royong Sukarelawan Penyu dan Tuntung di Pusat Penetasan Penyu dan Tuntung Laut Setiu di Pantai Penarik, di sini, semalam.

Beliau berkata, bagi mengatasi masalah itu, pihaknya juga telah mewujudkan pusat penetasan baharu bagi tuntung laut dan penyu di Pantai Penarik yang mampu menempatkan 200-300 sarang pada satu-satu masa berikutan musim pendaratan penyu dan tuntung yang dijangka bulan ini hingga September nanti.

“Melalui pelbagai usaha yang kita lakukan ini termasuk mewujudkan pusat penetasan, bilangan penyu agar yang dieramkan di sini (Pantai Penarik) menunjukkan peningkatan sebanyak 64 peratus berbanding 2012,” katanya.