Bomoh, sihir dan tangkal bawa kesyirikan  
Perbuatan memakai tangkal tanpa kepercayaan adalah syirik kecil. - Gambar hiasan

SIHIR umumnya berasal daripada perkataan bahasa Arab, bermaksud suatu yang tersembunyi atau terlindung, berlaku secara halus dan tidak dilihat dengan mata kasar.

Ia adalah perbuatan yang berbentuk kata-kata, jampi serapah atau ramuan, ubat-ubatan atau kepulankepulan asap.

Bomoh, juga dikenali sebagai dukun atau pawang ialah orang yang mengamalkan sihir biasanya memberi kepada orang yang datang kepadanya tangkal, azimat atau sesuatu untuk ditanam, atau memberi kertas bertulis mantera atau kemenyan dibakar dan berasap dengannya.

Ini kerana syaitan boleh menghidu bau asap dan dengan asap itu syaitan akan segera datang.

Bomoh biasanya meminta bekas pakaian seperti sikat dan kain, meminta sembelihan seperti ayam, burung di mana ia disembelih dengan tidak menyebut nama ALLAH SWT, dan kemudian sembelihan itu dibuang ke tempat sunyi untuk dipersembahkan kepada syaitan.

Darah daripada sembelihan biasanya disapu ke tubuh orang yang meminta khidmat, dan pelbagai lagi perbuatan syirik.

Daripada kaca mata Islam, sihir memang wujud. Ia sesuatu yang nyata, bukan teori, dan boleh memberi kesan kepada manusia, tetapi tentu sahaja dengan izin ALLAH semata-mata.

Sihir termasuk amalan syaitan; mendekatkan diri pelakunya kepada syaitan untuk mendapatkan bantuan daripadanya dengan melakukan perbuatan yang dikehendaki syaitan.

Lazimnya perbuatan itu tentu sahaja tidak akan lari daripada syirik.

Untuk mendapatkan pertolongan daripada syaitan, untuk melakukan sihir mesti ada give and take dengan syaitan, iaitu mesti ada perbuatan syirik yang perlu dilakukan kerana itu adalah objektif syaitan dalam hubungannya dengan manusia.

Seperti mana janji iblis, dia akan menyesatkan manusia, maka memang matlamat anak buahnya iaitu syaitan apabila berhubung dengan manusia adalah bertujuan menyesatkan manusia dengan sehabis-habis sesat iaitu supaya manusia mensyirikkan ALLAH.


Belenggu syirik, khurafat

Apabila manusia datang kepada syaitan untuk mendapatkan bantuan, ini merupakan peluang keemasan bagi syaitan untuk membantu.

Tetapi syaratnya, orang yang meminta bantuan itu tidak lari daripada disuruh melakukan perbuatan syirik.

Oleh itu, kita dapati di antara perbuatan yang dilakukan dalam sihir biasanya seperti menyembelih ayam tanpa menyebut nama ALLAH dan kemudian sembelihan itu dibuang dan bukan dimakan, dibawa darah, melakukan benda pelik dan tidak normal secara umumnya.

Ternyata perbuatan ini semua adalah perkara yang menghala kepada kesyirikan.

Pada tahun lepas, Pertubuhan Ilmuwan Malaysia mengadakan satu lawatan ke Lahad Datu. Kami melihat masyarakat Islam di sana masih percaya kepada amalan sihir, bomoh dan tangkal.

Ditunjukkan kepada kami gambar yang menunjukkan amalan masyarakat di sana.

Antaranya dibuat majlis makan di mana penduduk kampung duduk di satu tempat, dan di sebelahnya ada satu tempat khas dengan pinggan yang penuh dengan makanan lazat tetapi tidak ada orang duduk di situ.

Menurut kepercayaan mereka, makanan itu adalah untuk roh nenek moyang.

Satu lagi gambar menunjukkan disediakan dulang berisi makanan dan diletakkan atas bantal. Mereka mengatakan roh meminta supaya makanan disediakan begitu.

Di sekeliling makanan itu kelihatan perempuan Islam memakai tudung memegang payung atas makanan itu.

Di depan mereka ada seorang bomoh yang menjadi perantara mereka dengan roh nenek moyang.

Ini antara kepercayaan masyarakat Islam yang wujud sampai hari ini.

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Jauhilah tujuh dosa besar." Sahabat berkata, “Wahai Rasulullah, apakah dosa tersebut?” Baginda SAW bersabda, “Syirik kepada ALLAH dan perbuatan-perbuatan sihir...” (Riwayat Bukhari & Muslim)

Jelas, perbuatan sihir dan percaya kepada bomoh adalah perbuatan syirik.

Orang yang mendatangi bomoh, pawang, dukun, atau sebagainya yang mendakwa mengetahui ilmu ghaib dan boleh berhubung dengan alam ghaib, ini semua menjurus kepada kesyirikan.

Kini, nama bomoh itu mengalami penjenamaan semulakerana nama asalnya sudah buruk. Mereka menggunakan nama lain seperti ‘ustaz’, dan jangan hairan kalau selepas ini dikenal dengan gelaran ‘syaikh’, tetapi apabila dia mendakwa mengetahui ilmu ghaib, ketahuilah, dia mengajak kepada kesesatan, sedangkan Rasulullah SAW sendiri tidak mengetahui hal ghaib kecuali apa yang ALLAH wahyukan kepadanya sahaja.

Termasuk yang seangkatan dengan bomoh adalah tukang tilik, tukang ramal, pak nujum. Bezanya hanya pada istilah.

Tukang ramal, tukang tilik, ahli nujum adalah mereka yang kerjanya meramal atau menjangka apa yang berlaku pada mana akan datang.

Adapun bomoh, pawang, dukun, secara amnya tugas mereka adalah merawat penyakit, menghindar musibah, kesulitan, masalah, seperti susah mendapat jodoh, masalah rumah tangga, bisnes lingkup dan sebagainya.

Namun secara prinsipnya, mereka semua adalah sama dari segi mendatangi syaitan untuk mendapatkan bantuan.


Hukum mendatangi bomoh

Musibah yang ALLAH timpakan kepada manusia seperti kes pencerobohan Lahad Datu pada tahun lepas, juga peristiwa kehilangan pesawat penerbangan MH370 baru-baru ini sepatutnya membuka mata umat Islam.

Kita dapati kepercayaan syirik dan khurafat cukup tersebar dalam kalangan masyarakat Islam sendiri yang masih percaya dan menerima khidmat bomoh dan menggunakan tangkal untuk meminta bantuan dan mengangkat musibah yang menimpa mereka.

Sebagaimana sihir adalah amalan syirik, begitu juga dengan bomoh iaitu orang yang mengamalkan amalan syirik ini.

Hukum mendatangi bomoh dinyatakan dalam dalam hadis sahih di mana Nabi SAW bersabda, “Barang siapa yang mendatangi tukang ramal lalu dia mempercayai perkataannya maka dia telah kufur terhadap apa yang diturunkan kepada Muhammad.” (Riwayat Muslim)

Maknanya orang yang datang kepada bomoh atau tukang ramal telah mendustakan agama Islam dan dia membenarkan bomoh itu yang menyekutukan ALLAH.

Maka sihir adalah syirik, bomoh itu adalah syirik, begitu juga dengan tangkal.

Tangkal iaitu apa-apa kain atau benang, atau benda-benda yang dililit pada anggota badan atau digantungkan pada sesuatu tempat bertujuan menghindar mudarat.

Kebiasaannya tangkal dililit pada anak kecil, tetapi pada zaman sekarang bukan saja kanak-kanak, bahkan orang dewasa pun memakai tangkal.


Tangkal berisi ayat al-Quran

Ulama membincangkan bagaimana jika tangkal itu tertulis ayat al-Quran? Apa hukumnya? Adakah ia juga membawa kepada kesyirikan?

Pendapat yang rajih (kuat) adalah ia hendaklah dijauhi. Jangan sama sekali menggunakan tangkal walaupun ia mengandungi ayat al-Quran yang ditulis dengan betul dan sempurna.

Adapun tangkal yang mengandungi ayat atau huruf yang terputus-putus seperti mana yang ada pada kebanyakan tangkal, itu bukan ayat al-Quran, bahkan menghina ayat al-Quran.

Jadi dalam permasalahan menggunakan tanggal yang mengandungi ayat al-Quran yang betul, ulama mengatakan ia hendaklah dijauhi.

Sebab pertama adalah kerana Rasulullah SAW tidak pernah mengajar umatnya untuk melakukan sedemikian.

Sebab kedua, kerana berdasarkan keumuman sabda Nabi SAW, “Sesungguhnya jampi serapah, tangkal-tangkal, dan tiwalah (jampi untuk mendekatkan hubungan suami isteri) itu termasuk perbuatan syirik.” (Riwayat Ahmad, Abu Daud, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, dan Al-Hakim) Rasulullah SAW mengatakan semua itu termasuk perbuatan menyekutukan ALLAH.

Ulama menyimpulkan tidak kira apa juga bentuk tangkal, walaupun tertulis padanya ayat al-Quran atau hadis Nabi Muhammad SAW, ia termasuk dalam keumuman hadis Baginda SAW, ia termasuk amalan syirik.

Ini kerana apa yang pasti, ia boleh membawa kepada menyekutukan ALLAH.

Apabila wujud kepercayaan kain itu ada kuasa, jelas dia percaya kepada kuasa selain daripada kuasa ALLAH, dan dia tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada kuasa ALLAH. Kepercayaannya sudah lari, dan ia membawa kepada syirik.

Bagaimana pula jika tangkal itu bukan daripada ayat al-Quran? Kalau tangkal ayat al-Quran pun perlu dijauhi, maka apatah lagi benda dan tulisan khurafat yang kita sendiri tidak faham maksudnya.

Jelas ia membawa kepada kesyirikan kalau sudah ada kepercayaan.

Maka perbuatan memakai tangkal tanpa ada kepercayaan adalah perbuatan syirik kecil yang pelakunya tidak semestinya terkeluar daripada agama.

Bagaimanapun, jika perbuatan itu disertai dengan kepercayaan, sudah pasti itu adalah syirik besar.

Pelakunya terkeluar daripada Islam dan terhapus semua amal soleh yang pernah dikerjakannya, pelakunya kekal dalam neraka jika tidak bertaubat.

Kita memohon perlindungan ALLAH daripadanya.