Cuaca Malaysia : Dari sejuk gedi tetiba bertukar panas sekelip mata

Cuaca sejuk bertukar panas 'sekelip mata'
Oleh NADIA SHAIFUL BAHARI

PELUH mula membasahi baju pekerja wanita itu yang tekun menyusun peralatan dan bahan-bahan untuk menghasilkan cendol. Cuaca panas dengan suhu yang mencecah 36 darjah Celsius tidak menghalangnya untuk meneruskan rutin harian melayan pelanggan yang ingin menikmati cendol di kaki lima Jalan Pandan Mewah, Kuala Lumpur.

Dalam kalangan pelanggan gerai tersebut ada yang mencari lokasi redup di bawah pokok sambil merasai keenakan cendol tatkala terik mentari memancar.

Suasana itu mungkin biasa dilihat di tempat-tempat lain memandangkan cuaca panas luar biasa sedang melanda beberapa negeri di Malaysia.

Rasanya, baru sahaja negara digemparkan dengan fenomena cuaca sejuk melampau yang berlaku di utara tanah air. Namun, beberapa hari lalu sekali lagi negara kita dikejutkan dengan berita peralihan cuaca kepada cuaca panas.

Ia mendatangkan suasana tidak selesa dalam kalangan masyarakat di negara ini. Lebih buruk lagi apabila beberapa kawasan sudah dikenal pasti akan dilanda kemarau sekiranya paras air di beberapa empangan tidak kembali ke paras normal.

Sabtu lalu, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mengeluarkan arahan agar pegawainya memantau perkembangan aktiviti pertanian di setiap negeri bagi mengesan sebarang masalah yang timbul ekoran keadaan cuaca panas dan kemarau.

Terdapat laporan yang menyatakan petani di Kelantan terutamanya pesawah menghadapi masalah kekurangan air di petak sawah.

Di Melaka, bekalan air di beberapa kawasan termasuk Ayer Molek, Bandar Hilir, Ujong Pasir, Telok Mas, Duyung dan Lorong Pandan terganggu berikutan penggunaan melebihi had bekalan loji Syarikat Air Melaka Berhad pada masa ini. Kejadian tersebut dipercayai berlaku ekoran musim kemarau dan taburan hujan yang rendah menjadi punca simpanan air berkurangan.

Rezeki tambahan

Berlainan pula ceritanya di Pendang, Kedah apabila musim panas membawa rezeki tambahan kepada pembekal ais ekoran permintaan terhadapnya meningkat dua kali ganda. Kira-kira 1,000 beg ais sehari terjual di salah sebuah syarikat pembekal ais batu dan ais kiub di daerah berkenaan berbanding sekitar 500 hingga 600 beg sebelum ini.

Dalam pada itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang telah bersiap sedia untuk menjalankan operasi memadam kebakaran terutama melibatkan kebakaran lalang dan belukar.

Keadaan cuaca kering membolehkan kebakaran berlaku dengan mudah dan merebak pada kadar segera.

Januari lalu, jabatan tersebut menerima antara 30 hingga 40 panggilan kecemasan melibatkan kebakaran setiap hari dan kira-kira 80 peratus adalah kebakaran lalang dan belukar selain hutan-hutan kecil.

Cuti dibekukan

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan, Norazam Khamis menyatakan lebih 40 hektar kawasan hutan dan belukar di Negeri Sembilan terbakar Sabtu lalu.

Sehubungan itu, beliau telah mengarahkan cuti semua anggota di negeri tersebut dibekukan dan mereka diarahkan untuk bertugas membantu pemadaman api hutan di kawasan terlibat.

Menurut laman web Jabatan Meteorologi, ketika ini, negara sedang berada pada fasa pertengahan Monsun Timur Laut dan kebanyakan tempat mengalami keadaan cuaca kering. Keadaan cuaca kering ini adalah disebabkan atmosfera yang stabil sekali gus menyebabkan pembentukan awan yang sedikit.

Secara amnya, cuaca kering di kebanyakan tempat di seluruh negara dijangka menjadi sedikit lembap menjelang April 2014.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular Posts