Ultraman

KUALA LUMPUR - Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkata pengharaman komik 'Ultraman The Ultra Power' adalah berikutan kandungannya yang merujuk watak Ultraman King sebagai Allah.
  
Menurut kenyataan KDN, kandungan seperti itu dikhuatiri boleh merosakkan akidah anak-anak umat Islam dengan menyamakan Allah dengan Ultraman.
  
"Perintah larangan terhadap bahan penerbitan itu disebabkan watak Ultraman menjadi idola kepada kanak-kanak yang boleh mengelirukan pemikiran kanak-kanak terhadap sifat Allah, yang disamakan dengan Ultraman King.
  
"Kalimah Allah juga adalah kalimah suci bagi umat Islam dan merupakan kalimah sensitif serta boleh mencetuskan provokasi bagi penganutnya, sekiranya disalah guna pihak yang tidak bertanggungjawab," katanya.
  
Kenyataan itu juga menyebut jika tidak dibendung, perkara berkenaan boleh memudaratkan ketenteraman awam dan menggemparkan fikiran orang ramai.

Bagaimanapun, KDN berkata pengharaman itu hanya terpakai untuk komik Ultraman The Ultra Power.
   

Semalam, KDN mewartakan Perintah Larangan Penerbitan terhadap komik berbahasa Melayu terbitan Resign Publications itu, yang dicetak Network Printers.
  
Pengharaman komik itu berkuat kuasa pada 18 Feb lepas mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
   
Orang ramai yang didapati mencetak, mengimport, menghasilkan, menghasilkan semula, menerbit, menjual, mengeluar, mengeliling, menawarkan untuk menjual serta mengedar komik itu berdepan hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. - Bernama