Datuk rayu dibebaskan   
Muhamad (tengah) ketika dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, semalam.

KUALA TERENGGANU - “Saya merayu agar mahkamah membenarkan saya dibebaskan dengan jaminan kerana saya kini menghidap sakit jantung,” demikian rayuan Muhamad Abdullah, 68, selepas mengaku tidak bersalah atas dakwaan merogol seorang remaja, di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam.

Warga emas yang beralamat dari Taman Medan Jaya, Marang, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas dakwaan merogol mangsa yang dipercayai cucu saudaranya sendiri ketika mangsa berusia 14 tahun dan tiga bulan.

Dia didakwa melakukan perbuatan terkutuk itu di sebuah rumah di Kampung Nibong, Hulu Terengganu, lebih kurang jam 8 malam, pada 6 Ogos tahun lalu.

Dengan itu, Muhamad didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 30 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Zafirah Rosli di hadapan Hakim Aslam Zainuddin manakala Muhamad tidak diwakili peguam.

Sejurus pengakuan tidak bersalah Muhamad direkodkan serta rayuannya dipertimbangkan, Aslam membenarkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin sebelum menetapkan 7 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen.

Terdahulu, mahkamah terpaksa membenarkan Muhamad yang secara tiba-tiba diserang sakit jantung berbaring di atas bangku dalam kandang pesalah sambil mendengar kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa.