Jangan Keruhkan Hubungan MALAYSIA-CHINA


Rakyat China diminta menilai hasil hubungan diplomatik Malaysia dan negara itu yang terjalin sejak 40 tahun lalu dan tidak mengeruhkannya semata-mata kerana spekulasi yang tidak berasas berkaitan tragedi pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370 yang hilang di selatan Lautan Hindi.

Ketua Pergerakan Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata ini kerana banyak daripada perasaan tidak puashati oleh rakyat di China terhadap Malaysia datang dari teori dan spekulasi yang tidak berasas berhubung tragedi yang menimpa pesawat berkenaan.

"Kita berharap rakyat China melihat hubungan dengan kita (Malaysia) secara keseluruhan, bukan hanya melihat spekulasi yang tidak berasas (berkaitan tragedi yang menimpa pesawat berkenaan)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Satelit Institut Sukan Negara Kelantan di Kompleks Belia dan Sukan Panji di Kota Bharu hari ini.

Khairy berkata demikian ketika ditanya mengenai tindakan rakyat China membatalkan banyak pakej pelancongan ke Malaysia berikutan tragedi yang menimpa penerbangan MH370 itu.

Penerbangan MH370, membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 tengah malam 8 Mac dan hilang daripada paparan radar kira-kira sejam kemudian ketika merentasi Laut China Selatan. Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pada Isnin bahawa penerbangan pesawat MH370 berakhir di kawasan terpencil di selatan Lautan Hindi.

Khairy yang juga menteri belia dan sukan berkata pada tahun ini genap 40 tahun terjalinnya hubungan diplomatik antara Malaysia dengan China, dan Malaysia adalah negara pertama di Asia Tenggara yang mengiktiraf negara itu dengan mengadakan hubungan dua hala pada 1974.

"Bila timbul isu berkaitan Laut China Selatan yang banyak meredakan keadaan adalah Malaysia, kita tidak ambil sikap konfrantasi terhadap China seperti negara lain, kita berdiplomasi dengan China, kita banyak menerima pelaburan dari negara ini dan kita banyak melabur di China," katanya sambil menyifatkan Malaysia sebagai sahabat rapat kepada China.

Beliau berkata tuduhan bahawa Malaysia menyembunyikan maklumat berkaitan tragedi pesawat tersebut adalah tidak benar dan maklumat yang diberikan adalah setelah ia disahkan.

"Saya lihat kenyataan sesetengah keluarga itu mengatakan bahawa ada perkara yang disembunyikan oleh kerajaan Malaysia, ada perkara yang tidak dimaklumkan oleh kerajaan Malaysia sampai digelar sebagai pembunuh.

"Saya hendak ingatkan kepada keluarga, bukan rakyat China sahaja berada dalam pesawat MH370, rakyat Malaysia juga ada, kenapa kita hendak sembunyikan fakta, maklumat daripada keluarga mangsa, tidak ada sebab kita hendak sembunyi maklumat, sejak hari pertama kita beri maklumat tepat, kita hanya beri maklumat yang telah disahkan," katanya.

Khairy berkata beliau difahamkan ribuan pakej pelancongan telah dibatalkan oleh pelancong negara China yang akan memberi kesan yang serius kepada kejayaan Tahun Melawat Malaysia 2014 kerana China adalah pasaran terbesar Malaysia di Asia dari segi pelancongan.

Beliau percaya kerajaan sedang melihat perkara itu secara serius dan mengambil langkah-langkah berkesan bagi mengelakkan ia merebak ke sektor lain yang boleh memberi kesan kepada ekonomi negara ini.

Dalam perkembangan lain, ditanya mengenai kes pasangan rakyat Malaysia yang didapati bersalah memukul anak mereka dan dihukum penjara oleh Mahkamah Daerah Solna di Stockholm, Sweden semalam, Khairy berkata semua pihak perlu menghormati undang-undang negara itu.

"Mereka berada di Sweden dan dibicarakan di mahkmah maka kita kena terima keputusan mahkamah di negara tersebut," katanya.

Mahkamah Daerah Solna di Stockholm menjatuhkan hukuman penjara 10 bulan ke atas Azizul Raheem Awaluddin, seorang pegawai Tourism Malaysia di Sweden, manakala isterinya Shalwati Norshal dihukum penjara 14 bulan selepas didapati bersalah memukul anak-anak mereka.

- Bernama

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular Posts