Zaharie bina simulasi sendiri di rumah  
Gambar dari akaun Facebook Zaharie Shah menunjukkan set simulasi Boeing 777 yang dibina sendiri di kediamannya.

SHAH ALAM - Juruterbang pesawat Boeing 777 MH370, Kapten Zaharie Ahmad Shah merupakan seorang juruterbang berpengalaman yang bukan sahaja mampu menerbangkan Boeing 777 di udara, malah pesawat itu turut 'diterbangkan' di rumahnya.

Minatnya terhadap penerbangan amat mendalam, hinggakan ketika masa lapang Zaharie sering menghabiskan masa menerbangkan koleksi pesawat kawalan jauh beliau.

Beliau juga membina sendiri set simulasi penerbangan Boeing 777 untuk terus mempertajamkan kemahiran menerbangkan pesawat Boeing 777 yang sebenar.

Dalam sebuah bilik khas, beliau menempatkan tiga skrin LCD 32 inci dan tiga skrin sesentuh 21 inci yang mewakili alat navigasi dan fungsi yang berbeza seperti di dalam pesawat Boeing 777 yang sebenar.

Memetik catatan blog Sharelor.net, Zaharie juga gemar memasak dan sering memuat naik gambar hidangan yang dimasaknya.

Beliau juga sering berkongsi pengetahuan mengenai cara-cara melakukan sendiri penjimatan elektrik di laman YouTube.

Berdasarkan rekod MAS, bekas penuntut di Penang Free School ini telah mencatatkan 18, 365 jam penerbangan sejak menyertai Malaysia Airlines pada 1981.

Namun kita pasti dengan adanya program simulasi di rumah, beliau telah menerbangkan Boeing 777 melebihi rekod rasmi yang dicatatkan.

Dalam pada itu, tinjauan Sinar Harian Online mendapati satu akaun Facebook atas nama "Kapten Zaharie Ahmad Shah" telah diwujudkan hari ini dan telah meraih perhatian 1,772 pengguna internet sehingga jam 11 malam tadi.