Menangani kebanjiran maklumat misteri kehilangan MH370

– Ismail Hashim Yahaya


Ada sesiapa masih ingat dengan peristiwa banjir besar yang terjadi pada era Nabi Nuh yang menenggelamkan sebahagian besar umat manusia dan makhluk lainnya? Tragedi itu amat dasyat kerana banjir berupa luapan air menenggelamkan segalanya.

Hanya mereka yang mengikuti anjuran dan peringatan Nabi Nuh untuk membuat bahtera sahaja yang selamat, bersama beberapa haiwan ternak dan pohon yang mereka kembang-biakkan setelah banjir surut.

Sementara mereka yang mengabaikan nasihat tersebut pada akhirnya binasa termasuk anak Nabi Nuh sendiri (yang mengatakan dapat menyelamatkan diri dengan lari ke kawasan tinggi seperti gunung) tenggelam oleh luapan air dan kesombongan dirinya kerana rasa lebih pintar daripada Nabi Nuh.

Sekarang kita berdepan dengan suatu banjir besar juga dengan luapan yang hebat. Banjir dasyat yang dimaksudkan terjadi sekarang adalah banjir maklumat. Dalam berdepan dengan misteri kehilangan pesawat MH370, kita dihadapkan dengan kebanjiran maklumat yang membawa kekalutan atau "chaos".

Daripada misteri kehilangan pesawat MH370 di Laut China Selatan, khabar angin pendaratan di Nanming, China dan kejatuhan di Vietnam, sehingga kepada pesawat berpatah berada di sekitar Indonesia, Pulau Perak, Laut Andaman membawa ke sempadan Kazakhstan, pencarian di Lautan Hindi, pangkalan AS di Diego Garcia, penglibatan "orang dalam" dengan menumpukan kepada juruterbang Kapten Zahari Ahmad Shah yang mencetuskan apa yang disebutkan sebagai kekalutan maklumat.

Ini masih tidak membicarakan teori-teori konspirasi kononnya penglibatan Amerika Syarikat dalam saingan dengan China serta cubaan rampasan oleh kononnya pengganas dalam pesawat MH370 dan kononnya penglibatan beberapa rakyat Mongolia menyusup masuk ke dalam pesawat, begitu dengan dua penumpang menggunakan pasport palsu.

Teori terkini mengatakan pesawat berpatah balik kerana berlaku kebakaran dalam kokpit yang membawa kemungkinan radar tidak dapat dikesan dan Kapten Zahari adalah wira MH370 yang cuba menyelamatkan penumpang tetapi nasib tidak menyebelahinya kerana masa terlalu singkat untuk dia sampai ke lapangan terbang terdekat.

Sehingga rencana ini ditulis, berita yang diterima menyebut bahawa satelit China menemui objek lain di Lautan Hindi semalam memberikan dorongan baru untuk mencari pesawat MH370 dalam misi pencarian yang sudah masuk minggu ketiga.

Justeru itu inilah yang dinamakan banjir maklumat akibat perkembangan teknologi komunikasi melalui media televisyen dan internet. Hal ini tentu saja sangat berpengaruh terhadap berbagai dimensi kehidupan umat manusia terutama bagi dunia telekomunikasi.

Dalam menghadapi luapan dan ledakan maklumat pada era ini apa yang harus kita lakukan adalah penguasaan teknologi maklumat dan sikap serta cara berfikiran kritis. Keadaan ini amat diperlukan dalam berdepan dengan misteri kehilangan MH370 terutama sejauh manakah celik medianya kita. Atau adakah kita sudah celik atau memiliki literasi media yang tinggi?

Tanpa kedua-dua kemampuan tersebut, kita akan "tenggelam dan binasa" oleh luapan dan ledakan maklumat yang sangat dasyat ini dan menjadi individu serta bangsa yang terpinggirkan daripada arus utama peradaban umat manusia.

Kita akan hanya menjadi mainan media kuasa besar dalam penyebaran dan manipulasi maklumat.

Paul Virilio dalam Open Sky (1999) mengatakan dalam era maklumat digital berbagai realiti seharian, termasuk bencana dapat dihadirkan wujudnya dalam bentuk stereo-realiti.

Apa yang dimaksudkan ialah "kecepatan elektronik" (electronic speed) yang berupaya menghadirkan citra bencana di seluruh muka bumi. Bencana maklumat yang dialami sekarang akibat pendedahan fakta dan ledakan kebocoran maklumat melalui laman web sudah cukup memporakperandakan dunia yang mungkin boleh membawa kedinginan dalam hubungan antara negara.

Contohnya perbezaan atau percanggahan fakta dalam penyiaran maklumat antara media tempatan dan antarabangsa boleh mencetuskan kedinginan hubungan antara kerajaan dan rakyat.

Wall Street Journal dan CNN menyiarkan berita yang lebih terkini dengan tidak merujuk kepada sumber kerajaan menjadikan berita dan maklumat sumber rasmi berita kerajaan seolah-olah hambar atau 'banal'.

Adakah kerana berita sumber kerajaan lebih bersikap berhati-hati atau tidak hendak bersikap tulus dan telus?

Citraan elektronik atau digital dan kandungan maklumat di dalamnya dengan kecepatan tinggi dan muatan besar, telah "mendatangi" manusia lewat proses peledakan maklumat ke dalam (implosion) kerana kian mudahnya capaian ke berbagai gerbang maklumat dalam berbagai media (televisyen, internet, satelit, telefon bimbit).

Geografi malapetaka kini mampu dihadirkan dalam bentuk "geografi citra bencana" (geography of image).

Citra-citra tentang realiti malapetaka maklumat kini dapat disebarluaskan lewat jaringan, sehingga realiti berpindah dengan cepat seperti lalu lintas yang sibuk (traffic flow of the real) yang mampu menciptakan semacam kejutan maklumat (information shock) secara sekali sekali atau sporadic, serta meluaskan kesan psikologi berupa kepedihan, kepiluan, kebimbangan dan kepanikan menjadi bersifat massal.

Namun, Virilio dalam The Last Dimension (1991) berkata bom atau ledakan maklumat (seperti berita misteri kehilangan pesawat MH370) akan mengiring manusia ke dalam kondisi kehilangan dimensi perenungan, spiritual, dan akal sihat-citra tentang malapetaka oleh lambakan maklumat.

Bencana maklumat sekarang jika tidak berfikiran rasional, kritis dan sedar akan membawa watak manusia mudah hanyut dalam pelupaan eksistensial. Menurut Yasraf Amir Piliang, ilmuan Cultural Studies Indonesia, malapetaka ini menyentak kesedaran humanistik, perpaduan, perwujudan dan ketuhanan.

Tambahan seiring berlalunya waktu manusia kembali hanyut dalam banaliti seharian dan melupakan hikmah perenungannya. Apabila ini terjadi, malapetaka tidak dapat memberi makna.

Menurut Yasraf, ada dua dimensi pelupaan. Pertama, pelupaan vertikal iaitu pelupaan yang bersifat perwujudan-spritual yang boleh membawa kesedaran.

Dengan berlalunya waktu, seharian yang dibangkitkan malapetaka akan berlalu dan meredup. Setelah itu, orang kembali ke banaliti seharian: kembali rasuah, konflik, perpecahan, saling curang dan mengkhianat, tikam belakang, hidup mewah dan seumpamanya.

Kedua, pelupaan horizontal iaitu pelupaan yang bersifat sosial-teknologi. Setelah bencana, hampir tiap orang mengingatkan bagaimana kita hendak berhadapan bencana maklumat seumpamanya.

Bagaimana membangun teknologi yang boleh berdepan dengan kebocoran maklumat misalnya.

Namun dengan berlalunya waktu, segala peringatan akan terus hanyut dan dilupakan. Tidak ada tindakan, tidak ada penelitian, tidak ada perbincangan.

Dengan ini kita akan terus melupakan segala kesedaran dan ketakwaan yang hendak mengingatkan seluruh rakyat di negara ini: hentikan kerakusan, kecurangan, kekerasan dan kezaliman bangsa: berhentilah jadi "bangsa pelupa": lupa sejarah, lupa berterima kasih, lupa berdoa, lupa berupaya, lupa kesalahan, lupa kejahatan. Jadilah bangsa arif yang dikelompokkan sebagai golongan bertakwa yang mempunyai kesedaran seharian dalam perenungan kehidupan. – 23 Mac, 2014.

* Penulis adalah Pensyarah Fakulti Komunikasi dan Media, Universiti Selangor (Unisel) kampus Shah Alam dan juga bekas pelajar sekolah Menengah Penang Free.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular Posts