MH370 - Antara nikmat dan sedih kematian

Oleh Mohd. Shauki Abd. Majid

http://www.freemalaysiatoday.com/wp-content/uploads/2014/03/MH370-II.jpg
WALAUPUN Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini mengumumkan bahawa pesawat MH 370 berakhir di Lautan Hindi, tetapi ia masih terus menjadi satu misteri dan pada masa sama spekulasi serta teori berterusan tumbuh liar.

Namun pengakhiran lokasi pesawat itu, bukan bermakna tragedi itu turut mengakhiri kehidupan ahli keluarga yang terbabit. Musibah itu memang terasa getir, memilukan dan menyayat hati semua orang. Bagaimanapun, kehidupan ini mesti diteruskan dengan memegang pendirian haqqul yaqin bahawa ini sudah suratan takdir Allah dan pasti ada hikmah di sebalik tragedi ini.

Dalam hidup, suka atau tidak, kita akan berdepan dengan kesedihan, kegagalan, kegembiraan dan kejayaan. Memang banyak kesedihan atau kesakitan yang dapat dicegah. Tetapi banyak juga yang tidak dapat dicegah sehingga membawa kepada kematian walau segala usaha dan ikhtiar telah dilakukan.

Hanya berserah dan tawakal kepada Allah yang boleh kita lakukan sekarang ini kerana Allah sahaja zat yang Maha Mengetahui apa yang akan berlaku kepada kita esok dan masa hadapan. Allah jua lah yang mengetahui kita mati di belahan bumi mana dan dalam keadaan bagaimana kita menuju kematian itu.

Ini ditegaskan Allah yang berfirman: "Dan tiada seseorang pun yang betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok (sama ada baik atau jahat); dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah ia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Amat Meliputi pengetahuan-Nya. (Surah Luqman ayat 34).

Duka cita yang mendalam pernah dirasai Rasulullah SAW ketika isterinya Khadijah serta bapa saudaranya Abu Talib dipanggil oleh Allah SWT. Walhal selama ini, mereka berdua begitu mencintai Rasulullah. Tidak hairanlah, bila sejarah mencatat tahun itu sebagai "Amul Hazn" (tahun duka cita).

Jean Paul Sartre, ahli falsafah Perancis terkemuka, mengingatkan dua hal yang mungkin dapat meringankan malapetaka kematian: Bahawa kematian merupakan bahagian dari kehidupan. Justeru, tidak seorang pun yang hidup kecuali akan mati; dan semakin ramai orang yang terdedah oleh malapetaka, semakin ringan sentuhannya di hati mereka. Episod kematian membabitkan semua orang, kerananya ia seharusnya tidak menimbulkan kesedihan yang berlarutan.

Pandangan ahli falsafah ini pada asasnya bersumber kepada kenyataan al-Quran. Allah memperingatkan kepada kita bahawa manusia pasti mengalami kematian. Allah memperingatkan dalam al-Quran bahawa, setiap yang bernyawa akan merasakan kematian. Bahkan, seandainya ada seseorang yang dianugerahi usia yang tak berkesudahan, pasti dia adalah Rasul Muhammad SAW. Namun, baginda pun, jauh sebelum wafatnya, telah diberi peringatan oleh Tuhan bahawa, "Sesungguhnya engkau akan mati, sebagaimana mereka pun akan mati."

Walaupun al-Quran menamakan kematian sebagai "malapetaka", namun di sebalik malapetaka, kematian merupakan rentetan nikmat yang dianugerahkan Tuhan. Kematian adalah jalan satu-satunya menuju kebahagiaan abadi. Inilah agaknya yang merupakan salah satu sebab mengapa kata-kata syukur, yang berpunca daripada wujudnya nikmat, dalam al-Quran sama banyak dengan kata-kata musibah (malapetaka), yakni masing-masing sebanyak 75 kali.

Kematian sangat menggusarkan manusia. Mitos, falsafah, juga ilmu pengetahuan, tidak mampu memberikan jawapan yang memuaskan. Hanya agama yang dapat memainkan peranan merungkainya. Agama Islam, melalui al-Quran, telah membicarakan masalah kematian ini dalam lebih kurang 300 ayat, di samping ratusan hadis Nabi Muhammad SAW, baik yang sahih mahupun yang dha'if. Dalam surah al-Zumar ayat 42, Tuhan berfirman: Allah (Yang Menguasai Segala-galanya), Ia mengambil dan memisahkan satu-satu jiwa dari badannya, jiwa orang yang sampai ajalnya semasa matinya, dan jiwa orang yang tidak mati: dalam masa tidurnya; kemudian Ia menahan jiwa orang yang Ia tetapkan matinya dan melepaskan balik jiwa yang lain (ke badannya) sehingga sampai ajalnya yang ditentukan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir (untuk memahaminya).

Ayat di atas menggambarkan bahawa kematian sama dengan tidur. Bahkan, pengertian tersebut secara jelas diterangkan oleh hadis Nabi SAW ketika baginda ditanya : "Apakah di dalam syurga ada 'tidur'?" Baginda menjawab : "Tidur adalah saudara mati. Di syurga tiada mati dan tiada pula tidur." Nabi SAW mengajarkan juga kepada kita agar, setiap bangun dari tidur, membaca: "segala puji bagi Allah yang telah menghidupkan kami setelah Dia mematikan kami" (menghidupkan dalam erti membangunkan dan mematikan dalam erti menidurkan).

Apa yang dikemukakan al-Quran dan hadis-hadis tersebut selari dengan apa yang dikemukakan ahli falsafah Jerman, Schopenhauer, sewaktu ia berkata : "Mengantuk itu nikmat, tapi lebih nikmat lagi tidur. Sedangkan yang lebih nikmat daripada tidur adalah mati."

Namun demikian, apa yang tidak diungkapkan oleh ahli fikir tersebut ternyata diungkap oleh al-Quran dan hadis-hadis Nabi dengan lebih terperinci lagi. Yakni bahawa ada faktor-faktor luaran yang dapat menjadikan kematian lebih nikmat lagi, sebagaimana ada pula yang dapat menjadikan kematian sangat pedih dan mengerikan. Al-Quran menceritakan :

"Orang yang menyatakan (meyakini) Tuhan kami adalah Allah, kemudian istiqamah (berpegang teguh dengan keyakinan tersebut), turun malaikat kepada mereka (di saat-saat kematiannya) sambil (menenangkan) dengan berkata: "Janganlah kamu khuatir (menghadapi kematian), jangan pula bersedih (meninggalkan dunia dan keluarga), dan bergembiralah kamu dengan syurga yang telah dijanjikan kepada kalian, Kamilah pelindung-pelindungmu dalam kehidupan dunia (bagi keluarga yang kamu tinggalkan) dan di akhirat (bagi kamu sekalian). Di sana kamu memperoleh apa yang kamu inginkan dan memperoleh (pula) apa yang kamu minta."

Selain itu, Nabi Muhammad menjelaskan : "Siapa yang suka bertemu dengan Allah, Allah pun suka bertemu dengannya". Para sahabat berkata sambil bertanya: "Siapakah yang senang mati, wahai Rasulullah ?" Baginda menjawab: "Bukan itu yang saya maksudkan. Tetapi seorang Mukmin, bila saat kematiannya datang, ditampakkan di pelupuk matanya tempat tinggal dan kebahagiaan yang menantinya di syurga, sehingga ia berkeinginan untuk segera bertemu dengan Tuhan demi mendapatkan apa yang dilihatnya itu."

Inilah sebabnya mengapa, kita menemukan orang yang beriman mati dalam keadaan tenang, bahkan tersenyum. Itu kerana mereka melihat, bahkan merasakan, apa yang dijanjikan Tuhan itu.

PENULIS ialah Pengurus Besar Analisa dan Pengurusan Isu Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular Posts