MH370 - Antara Satelit, kotak hitam, al-fatihah...!!

http://peraktoday.com.my/wp-content/uploads/2014/03/doa-untuk-mh370.jpg

MENCARI pesawat MH370 di Lautan Hindi tidak semudah menggapainya umpama dalam kolam renang (swimming pool).

usaha pencarian memasuki dua minggu dengan kordinat kini dicerapkan ke kawasan tumpuan yang kecil, ia menjadi satu perkembangan positif. Ini berbeza jika dilihat dalam minggu lepas yang mana pencarian MH370 dicerap berpusat di Laut China Selatan, sebelum diubah ke Laut Andaman dan akhirnya ke koridor Selatan di Lautan Hindi. Pencarian ke serata dunia ini tidak pernah berlaku dalam era penerbangan dunia kerana biasanya dalam nahas-nahas pesawat kita tahu titik terakhirnya.

Jadi, ini satu kejayaan kejuruteraan apabila pencarian MH370 dicerap ke kawasan kecil. Dan kalau ditanya kepada industri maritim, Lautan Hindi bukanlah laluan perkapalan. Misi mengesan begitu mencabar. Kalau dilihat dalam YouTube, sesebuah kapal yang belayar di Lautan Hindi seolah-olah kapal mainan kertas yang sedang dialun-alunkan dalam ombak ganas samudera raya.

Bagi teknologi moden seperti satelit untuk mencerap secara terperinci lokasi sebenar bangkai MH370, tugas sukar sedang menanti. Memang dalam filem sains fiksyen, kita dihidangkan dengan keupayaan satelit untuk mencerap, bahkan imej sedekat kandungan akhbar yang dibaca pun boleh dicerap. Ini sehinggakan pergerakan pelakon Will Smith dalam satu filem, 'mampu dicerap' oleh satelit yang mengikutnya berlari. Faktanya tidaklah begitu. Satelit tidak boleh 'zooming' seseorang disebabkan satelit bergerak sepanjang masa. Apabila satelit bergerak, ia meninggalkan kita.

Dalam isu MH370, satelit bumi tidak mencari sesuatu penerbangan yang bergerak. Ia hanya mampu mengesan imej yang statik. Satelit membuat `perayauan umum' dan bukan untuk mengesan pesawat yang bergerak.

Keupayaan satelit terhad. Ia tidak boleh menembusi kawasan pejal. Kalau anda berada dalam sebuah rumah, satelit tidak boleh menembusi bumbung atau atap gentingnya. Tetapi kalau ikutkan filem Hollywood, semuanya boleh. Justeru dalam isu MH370, katakan pesawat ini terbang dari lokasi A ke lokasi B, apabila satelit bergerak, ia terlepas 'menghidu'nya kerana hanya selepas 90 minit kemudian ia kembali ke titik asal pesawat tadi (yang telah pun berlalu). Ini berbeza dengan satelit komunikasi seperti Inmarsat.

Sebab itu misi pencarian bangkai atau serpihan MH370 ini sukar. Di sebalik keupayaan satelit yang terhad, satu-satunya yang boleh merungkai misteri insiden MH370 adalah kotak hitam. Selepas nahas pesawat Air France beberapa tahun lalu, kebanyakan negara telah pun menggunakan pengecas atau bateri kotak hitam yang mampu bertahan selama 90 hari, tidak seperti kotak hitam MH370 yang cuma 30 hari. Dengan baki cas kotak hitam MH370 yang kini mampu bertahan dalam 13 atau 14 hari lagi, cabaran mengesan kotak hitam itu kini menjadi misi yang cukup mencabar. Mengikut seorang pakar satelit, kotak hitam yang diselaputi selut atau mendapan dalam Lautan Hindi sukar memantulkan isyarat untuk dikesan. Apa lagi jika kotak hitam itu terperosok dalam jurang dalam lautan atau bangkai pesawat berkenaan betul-betul berada di atas kotak hitam berkenaan. Dengan suhu Lautan Hindi yang tidak menentu, pantulan isyarat dari kotak hitam berkenaan pula dikatakan akan menerawang. Akhirnya, sukar untuk memberi isyarat `ping'.

Namun tidak pernah terjadi pesawat yang jatuh ke laut tanpa pecah, yakni meluncur masuk ke dasar lautan. Meskipun mendarat baik di atas permukaan air, ia umpama menghentak pepejal dan mengakibatkan serpihan.

Maka, kotak hitam perlu ditemukan segera. Di dalamnya mengandungi segala butiran yang berlaku dalam kokpit pesawat antaranya suara juruterbang dan pembantunya dalam tempoh dua jam, altitud penerbangan dan lokasi jatuhnya MH370.

Cuma dalam insiden MH370, tempoh dua jam berkenaan barangkali tidak cukup banyak mengumpulkan bukti ekoran pesawat terbabit terbang jauh ke Laut China Selatan, sebelum ke Laut Andaman dan berakhir di Lautan Hindi. Ini memerlukan sekurang-kurangnya bukti dalam data kotak hitam perlu dianalisis antara enam hingga tujuh jam.

Dalam hal ini, di masa depan pakar-pakar kejuruteraan boleh membangunkan satu sistem kotak hitam yang lebih sofistikated yang berkeupayaan menyimpan bukti sehingga 10 jam, mampu menghantar terus isyarat yang disambung ke boya atau ke satelit bumi dan satelit komunikasi Inmarsat. Penumpang barangkali tidak kisah jika kos berkenaan dipindahkan kepada mereka menerusi caj tiket andai itu semua untuk keselamatan mereka.

Bukti dari kotak hitam sahih. Isyarat 'ping' yang dipancarkan dari kotak hitam, menurut pakar kejuruteraan, tidak boleh digodam. Ia tidak sama dengan e-mel yang boleh diperlakukan begitu. Malah, jika ada telahan mengatakan data dari Inmarsat yang mengesan pengakhiran riwayat MH370 dipalsukan atau wujud konspirasi pihak tertentu, ia sukar diterima kerana ini melibatkan soal nyawa. Inmarsat yang berdaftar di Bursa Saham London tidak akan 'melakonkannya'. Meskipun Inmarsat tidak ada fungsi mencerap namun fungsi komunikasinya terbukti mencerap data dan ini berbeza dari remote sensing yang ada.

Apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi rumusan data Inmarsat Isnin 24 Mac lalu yang menandakan titik berakhir penerbangan MH370, ia mendedahkan sesuatu yang konklusif.

Tinggal lagi kaum keluarga penumpang mahu melihat dengan mata sendiri bangkai pesawat dan serpihannya kerana ini merupakan detik-detik yang sukar. Tetapi dari sudut kejuruteraan, tidak ada apa yang hendak disembunyikan.

Hari ini kaum keluarga penumpang termasuk dari China menyuarakan rasa tidak puas hati dan menyerbu kedutaan Malaysia di sana. Kata mereka, Malaysia menyembunyikan sesuatu dari insiden itu. Dan sekali lagi, dari sudut kejuruteraan dan disabitkan dengan forensik, kita perlu terima hakikatnya.

Bagi kaum keluarga yang beragama Islam, kita harus reda. Ada hikmah di sebalik insiden ini. Berdoalah dan hulurkan sedekah al-fatihah semoga insan yang disayangi dalam pesawat MH370 tenang di sana dan dirahmati oleh-Nya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular Posts